Gua
Berkunjung ke Kota Gelanggi dengan 9 Manfaat

Berkunjung ke Kota Gelanggi dengan 9 Manfaat

Kami berpeluang merasai sendiri pengalaman masuk gua di Kota Gelanggi, Pahang pada 4 Mac 2017 baru-baru ini. Apa yang lebih bertuah adalah, kami berempat sahaja yang berkunjung pada waktu itu. Pihak Hotel Felda Resident dengan senang hati mengaturkan jadual dan pemandu gua untuk kami. Dapatkan surat kebenaran untuk ke sana terlebih dahulu. Kami memilih pakej yang sesuai untuk anak-anak iaitu hanya melawat gua dan dikenakan bayaran sebanyak RM30. Jika inginkan pakej yang lebih lasak seperti flying fox dan hiking juga disediakan. Bayaran yang dikenakan untuk pakej ini adalah berbeza.

Resit bayaran memasuki Taman Warisan Gua Kota Gelanggi.

Selesai bersarapan, seawal jam 9 pagi kami menuruti pemandu gua dengan kenderaan sendiri. Tidak menjadi masalah kerana laluan bertar dan tiada apa-apa halangan semasa perjalanan. Pemandu gua membuka kunci mangga di pagar dan membenarkan kenderaan kami masuk. Kawasan tersebut tidak boleh masuk dengan sewenang-wenangnya.

Kami membuka bumbung bagi mendapatkan pemandangan dan udara hutan. Anak-anak teruja menghulurkan kepala keluar dan melihat sendiri pandangan hutan yang tidak pernah dilihat selama ini. Udara yang nyaman dan bunyi cengkerik bersilih ganti dengan sahutan haiwan lain. Jalan agak basah akibat hujan pada waktu malam.

 Keadaan di luar sangat nyaman dan udara sangat bersih.

Mata kami terpukau dengan melalui satu lorong gua yang tersergam teguh. Gua pertama kami temui dikenali sebagai Gua Tongkat. Gua tersebut dinamakan sedemikian kerana tiangnya kelihatan seperti menongkat di atas tanah. Pada tahun 1970-an, gua ini didiami oleh keluarga Pak Abas. Kami melihat satu lubang di bahagian atas gua yang merupakan kawasan tempat mereka sekeluarga satu ketika dahulu. Untuk naik ke sana, Pak Abas membina tangga yang dibuat daripada rotan. Bahagian lantai gua pula adalah tempat berniaga Pak Abas. Pak Abas membuka kedai makan dan mempunyai ramai pelanggan yang datang untuk melihat keanehan keluarga yang memilih untuk tinggal di gua. Masih terdapat lagi kesan tinggalan mereka di gua tersebut. Selepas pihak kerajaan mengambil alih, Pak Abas sekeluarga diarahkan keluar. Namun telah diberi sebuah rumah di Kuantan. Pak Abas tidak tahan lama tinggal di rumah tersebut dan telah lari keluar. Tidak pasti ke mana mereka sekeluarga berada sekarang.

Gua Tongkat inilah merupakan tempat tinggal Pak Abas sekeluarga.

Permukaan batu berselut akibat banjir besar melanda pada tahun 2014.

 Laluan Gua Tongkat.
Tempat membasuh pinggan mangkuk sewaktu Pak Abas berniaga kedai makan. Boleh dilihat ikatan bata pada batu.

Kami singgah pula ke Gua Terang Bulan. Gua yang sangat gelap dan perlu berhati-hati berjalan di dalamnya. Kami menggunakan lampu telefon bimbit sebagai suluhan di dalam gua. Di dalamnya terdapat pelbagai spesis hidupan fauna iaitu kelawar, ular dan serangga berbisa. Di sini jugalah lagenda bersejarah iaitu Mat Kilau bertapa. Gua ini dikenali sebagai Gua Terang Bulan kerana di bahagian paling dalam gua ini menampakkan biasan cahaya dinding batu seolah-olah melihat bulan di waktu malam. Lagi gelap keadaan di dalam, lagi jelas cahaya kelihatan.

Kawasan dalam gua yang terlalu gelap sehinggakan menyukarkan kami untuk berjalan.
 Bukit Batu Kapur Gua Kota Gelanggi banyak mempamerkan bentuk-bentuk geomorfologi umum yang biasa didapati di kawasan batu kapur di mana corak saliran, tumbuhan dan topografi. Yang ini berbentuk ular tedung.
        Di bahagian dalam juga masih banyak bentuk tetapi tidak dapat diambil kerana keadaan di dalam terlalu gelap. Yang ini pula bentuk seperti muka manusia.

Gua terakhir kami jejaki adalah Gua Balai. Gua Balai tersangatlah luas. Seolah-olah berada di sebuah dewan. Amat sesuai kepada pengunjung untuk berkhemah kerana tidak risau akan hujan dan pokok tumbang. Aktiviti seperti flying fox, rock climbing dan abseiling juga dapat dilakukan di sini.

Lantai gua lebih luas dan silingnya sangat tinggi. Gua yang sangat luas membolehkan pelbagai aktiviti boleh dijalankan di sini.

Tali merah menandakan kawasan penyelidikan oleh ahli kaji purba. Di dinding gua juga terdapat tanda menunjukkan bukti kajian projek penyelidikan arkeologi oleh Jabatan Muzium 1981

Air yang pernah mengalir melarutkan unsur karbonat untuk menghasilkan struktur karst seperti gerbang.

9 MANFAAT MEMBAWA ANAK-ANAK KE GUA

1. Menanam minat cintakan gua.

Mengapa gua? Sentiasa kita dengari ibu bapa membawa anak-anak bercuti di pantai atau di kawasan lagun. Jarang sekali ibu bapa membawa ke gua. Padahal bumi ini mempunyai banyak lagi tempat untuk diterokai. Ubah persepsi kita untuk mendekati gua secara realiti. Gua mempunyai tarikannya yang tersendiri. Tambahkan psikomotor anak-anak daripada tempat berpasir dan berair kepada kawasan berbatu. Mereka akan mendapat maklumat mengenai persekitaran flora dan fauna termasuk pembentukan batu pada gua yang unik termasuk dalam bentuk haiwan atau barangan.

2. Tempat pembelajaran secara langsung.

Di sinilah anak-anak dapat belajar secara langsung. Di sekolah, cikgu hanya mengajar menunjukkan gambar di buku atau menonton video sahaja. Di gua, mereka akan mengenali haiwan dan serangga secara lebih dekat. Apa yang dilihat atau didengari, mereka akan terus bertanya. Pemandu gua akan memberi penerangan secara terperinci. Pembelajaran ini akan memberi kesan yang lebih lama kerana mereka dapat melihat sendiri secara lebih dekat.

3.  Berkomunikasi dengan orang luar.

Anak-anak kami mampu untuk bertanyakan soalan kepada pemandu gua yang tidak dikenali oleh mereka. Keinginan ingin tahu mereka sangat tinggi sehinggakan berani untuk bertanya. Ini dapat menanam keyakinan ke dalam diri mereka untuk berkomunikasi dengan orang lain. Mereka akan menjadi seronok dan teruja apabila kemusykilan mereka terjawab.

4. Tahu akan pantang larang.

Ya. Mereka diberitahu dahulu tentang pantang larang memasuki gua. Pemandu gua menyenaraikan pantang larang seperti menjaga tutur kata, tidak membawa keluar apa jua tumbuhan serta batu di dalam gua atau cuba untuk mengalihkannya. Ini menjadikan mereka menghormati dan menjaga adab ketika berada di gua kerana tahu akan kesan yang bakal ditanggung jika cuba melanggarnya.

5. Hubungan kekeluargaan.

Kami ibu bapa yang bekerja. Kerja pagi, pulang petang. Malam yang sangat singkat untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Aktiviti ini merupakan peluang bagi kami mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Anak-anak menaruh kepercayaan kepada kami semasa memasuki gua. Kami masuk gua yang gelap sambil berpimpinan tangan dan saling menjaga antara satu sama lain.

6. Jauh daripada gajet

Budak sekarang berbeza dengan zaman dahulu. Zaman kini, anak-anak tidak suka berada di luar dan banyak menghabiskan masa dengan bermain gajet seperti televisyen, Ipad, handset dan laptop. Bagi kami, kesannya sangat negatif kerana mereka hanya didedahkan melalui visual sahaja. Melalui pengalaman ini, ia memberi persepsi berbeza kepada mereka tentang kehidupan gajet dan dunia realiti. Jika permainan video yang dimainkan hanya penat di jari, kini mereka merasai sendiri penat mendaki. Keseronakannya jauh berbeza.

7. Beralih kepada dunia kapitalis kepada alam semulajadi.

Pusat riadah keluarga seperti taman tema dan pusat hiburan digerakkan oleh sistem ekonomi kapitalis. Kemudahan yang disediakan perlu dibayar dalam jumlah yang sangat mahal kepada pengusaha yang sedia kaya. Kami alihkan anak-anak kepada alam semulajadi. Tiket masuk yang dibayar untuk memasuki gua boleh digunakan sebagai program lestari. Ajarilah anak-anak untuk cintakan kedamaian dan keindahan bumi hijau.

8. Berani berada di dunia luar.

Gua adalah tempat yang sunyi dan mempunyai kehidupan lain. Ini membina semangat dan jati diri dalam diri anak-anak. Bagi kami, mereka sangat berani menempuh masuk ke dalam gua. Kami pun hanya tau redah sahaja. Lupa akan risiko akan berdepan dengan haiwan berbisa atau kemungkinan jatuh di kawasan licin di dalam. Untuk merasai sendiri perasaan berada di dalam, buangkan rasa takut, dan tempuhilah dengan berani. Kami bagi 5 bintang akan semangat untuk anak-anak kami.

9. Keluar daripada zon selesa.

Anak-anak biasa berada di dalam rumah dan selesa dengan kemudahan yang sedia ada. Mana taknya. anak-anak kami terlalu selesa dengan kehidupan yang dilalui sehari-hari. Kalau panas buka kipas. Penat boleh baring di katil. Jika berada di gua, suasana lain akan dirasai seperti berdebu dengan habuk batu kapur, panas berpeluh, penat menaiki dan menuruni tangga serta kotor pakaian. Namun, ketidakselesaan yang dialami dibalas dengan kepuasan pengalaman yang belum pernah dirasai sebelum ini.

Bila ditanya kepada anak-anak, adakah ingin kembali semula ke sini? Melompat-lompat teruja mereka untuk merasai sekali lagi pengalaman seperti itu. InsyaAllah, kami akan kembali dan ingin beralih kepada pakej yang lebih ekstrim. Kami belum puas kerana kami hanya sempat masuk tiga daripada seratus lebih gua di Kota Gelanggi. Doakan kami masih berkesempatan untuk ke sana sekali lagi.

Iphone 5S : Sony Experia XZ : Olympus OMD E10 Mark II

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *