Aku ada perasaan iri hati bila mana tengok orang di sekeliling. Kawan aku kaya. Mempunyai perniagaan sendiri. Banyak aset telah disimpan. Ada juga yang berumah besar dan berkereta mewah. Set persalinan yang mahal-mahal.
Tiba-tiba aku terfikir, adakah kaya yang diperoleh hanya dengan sekali petik? Jatuh bangun orang itu aku tidak tahu. Berapa kerugian yang dilalui. Berapa banyak masa bersama keluarga telah yang diabaikan demi mencari harta. Air mata yang mengalir di ceruk gelap tidak pernah aku intai.
Adakah orang yang berumah besar dalam keadaan bahagia? Jika hubungan kekeluargaan dingin, adakah rumah besar itu kekal luas pada pandangan kita? Tidak. Pasti akan terasa sempit. Sesak untuk bernafas dalam setiap saat. Rumah yang dihiasi lampu di seluruh sudut pun pasti akan berasa kelam dan suram…
Jika berkereta mewah, pasti bayaran bulanan juga besar. Pepatah orang tua-tua, sebesar mana periuk nasi, sebesar itu jugalah keraknya. Berkereta besar mungkin bersebab. Dah aku kenapa?
Mengapa dia boleh berpakaian sentiasa mahal? Itu adalah kepuasan individu. Aku bukan sebagaimana mereka. Mengapa perlu tiru orang lain? Aku ada gaya aku sendiri. Mahal tidak semestinya menunjukkan itu adalah personaliti aku.
Gambar yang upload di FB dan Ig semuanya sempurna. Masalah mereka adakah kita pernah ambil tahu? Adakah kita pernah berada di dalam kasut mereka? Mungkin juga mereka juga sedang iri hati dengan kehidupan orang lain.
Aku diberi kesihatan yang baik, cukup makan dan pakai. Anak-anak aku ceria. Rumah aku muat untuk kami empat beranak. Aku ada masa bersama keluarga. Untuk apa aku perlu iri hati? Apa yang penting adalah kebahagiaan. Jaga hubungan dengan suami, ibu, ayah, anak-anak, adik-beradik dan orang sekeliling. Perlu sentiasa berlapang dada.
Jangan sentiasa pandang ke atas. Sesekali lihatlah juga ke bawah. Yang masih menyewa rumah, hanya mempunyai motor, anak-anak sentiasa ulang-alik ke hospital, pakaian lusuh tidak pernah berganti. Allahu…
Alhamdulillah… Aku bersyukur ya Allah….