Dilema bagi individu yang telah bergelar ibu bapa apabila minat terhadap mengembara masih tinggi tetapi mempunyai anak kecil. Lebih-lebih lagi yang berusia 2 tahun ke bawah. Takkan nak break kejap minat tu semata-mata nak tunggu besar kan. Rugi la sebab waktu tu kita dah pun bertambah umur. Masa depan bukan boleh dijangka. Kot sakit terbaring seksok kang menyesal pulak.

Tak kurang ada yang mengejek, “Buat rugi duit je bawak anak besar tu jalan jauh-jauh. Bukan dia ingat pun. Menyusahkan lagi ada la.”

Derr… Dah nama pun anak kan. Takkan nak tinggal. Amanah besar Allah bagi. Nak tak nak, kena bawak. Memang la bayi takkan ingat semua perjalanan tu. Pengalaman tu sebenarnya bukan untuk bayi, tetapi kepada ibu bapa. Buat la photobook ke, video ke atau blog macam ni. Boleh la ceritakan balik kepada mereka bila dah besar nanti. Confirm mereka akan menghargai susah payah kita as parents tidak meninggalkan mereka sewaktu kecil. Perenggan ni kami tujukan kepada orang yang mengejek kami sebenarnya. Sorry!

Guna peluang ini sebanyak mungkin untuk menikmati waktu kecil mereka bersama-sama. Best buddy yang terbaik ketika travel adalah ahli keluarga sendiri. Masing-masing dah kenal peel kan. Dah boleh baca, dah boleh faham. Sekepala. Nak atur apa-apa pun mudah. Bincang di dapur sambil makan cekodok pun takde hal. Ini la sembang-sembang kami kalau duk berkumpul sekeluarga. 

Kebetulan, tahun ni kami dapat buddy travel yang baru. Namanya Niqrisa Auni. Baru je berumur 2 bulan 2 minggu sewaktu makan angin di Cameron Highlands. Setelah berjaya ke sana, kami cuba melangkah jauh ke Filipina selama sembilan hari. Dua kali berjaya. Yeay! Rata-rata kata susah nak urus. Yang tak tahan ada yang kata pasti kami akan serik balik nanti sebab bawak bayi. Hahaha Tak cuba tak tahu. Dah cuba baru tau. Macam nak repeat lagi ada la. Will never stop thinking travel la.

Ahli baru kami untuk tahun ini. Dalam perut ke Beijing dan Koh Samui. Luar perut pergi Filipina pulak dia ya.

Di sini kami ingin berkongsi 12 panduan. Tak la mahir sangat pun. Lagipun ini merupakan kali pertama kami berlima terbang jauh. Sebelum ke sana, kami baca dahulu beberapa posting pengalaman travel bersama bayi. Persediaan itu penting. Setelah kami merasainya sendiri, giliran kami pula berkongsi pengalaman sebagai persediaan buat pasangan lain. Kami pun nak juga memudahkan urusan orang lain. InsyaAllah.

1. KESIHATAN

Beberapa hari sebelum berlepas, sila berjumpa doktor terlebih dahulu untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Kalau sihat, tidak bererti anda boleh terbang macam tu je. Dapatkan juga ubat keperluan daripada doktor untuk dibawa bersama ke sana nanti. Kebiasaan ubat yang perlu dibawa bersama seperti panadol, selesema, batuk, dan antibiotik. Jangan lupa cool fever, handyplus dan termometer. Ambil suntikan vaksin jika dirasakan perlu. Dapatkan nasihat daripada doktor anda. 


Sumber : World of Me. Pack dalam satu beg kecil. Takde la sampai tercari-cari sewaktu kecemasan kan. Jangan cuba nak selit kat celah-celah baju. Masalah!

2. INSURANS

Beli insurans perjalanan ke luar negara. Kami biasa membeli insurans AXA dengan pakej harga RM 146.25 untuk sekeluarga.  Beli online akan dapat diskaun. Incase ada berlaku apa-apa di negara yang dilawati seperti terpaksa dimasukkan ke hospital, beg rosak/hilang, delay flight atau kemalangan.

Setiap kali travel, memang wajib beli insurans. Ada banyak pilihan yang boleh diambil. Buat surveyyang terbaik untuk keluarga anda. Ini salah satu yang boleh isi dan beli secara online Insurans AXA

3. STROLLER ATAU BABY CARRIER

Ini adalah equipment yang membantu ibu bapa semasa travel. Lebih-lebih lagi kepada bilangan ahli keluarga kecil. Tak mampu nak bergilir pegang. Macam kami, abang kakak bukan boleh dukung lama pun. Jadi tak boleh nak harap sangat dukung lama-lama. Kalau dukung lama akan membuatkan kita guna tenaga yang lebih. Cepat penat, maka cepat la give up. Biarlah win-winsituation bagi ibu bapa dan bayi. Buat pilihan antara stroller atau baby carrier.

    Kami lebih prefer pakai baby carrier kerana tangan yang  free membolehkan kami pimpin tangan abang dan kakak. Tambahan, rasa lebih selamat bayi melekat di badan berbanding berjauhan dalam stroller. Travel kena bawa banyak beg. Stroller tak friendly buat kami. Berat dan besar. Nak naik turun tangga, leceh waktu angkut dalam transport pun satu hal. Baby carrier lebih menyenangkan buat kami. Keselesaan bergantung kepada badan masing-masing.

Waktu travel ni, semua barang perlu dikurang dan dikecilkan agar tidak membebankan. Banyak lagi perkara lain yang lebih penting perlu dibawa. Baby carrier menjadi pilihan setakat ini. Tidur pun bukan main lena dalam ni. 2 jam tu biasa. 

4. MAINAN

Bawa mainan satu dua dah la. Bukan satu beg. Bukan juga yang besar gedabak. Saiz comel-comel dah la. Sebagai ibu bapa, kita tahu mainan yang mana paling menarik perhatian bayi. Ini dapat mengelakkan bayi cepat rasa bosan. Biarkan bayi anda ralit dengan mainan kesukaannya.

Niqrisa suka sangat buku ni. Memang dia akan layan. Baru nak nangis pun boleh cancel bila dengar bunyi yang menjadi kebiasaan baginya.

5. SUSU & MAKANAN

Bagi bayi yang berusia bawah 6 bulan, tak perlu risau akan penyediaan makanan. Jika anda menyusu badan, bawalah pam. Kalau rasa pam menyusahkan, sediakan kain penutup dan baju menyusu. Jika bancuh susu formula, sediakan air panas sendiri (di Filipina kena bayar) dan pastikan bekalan susu tepung tu cukup. Susah pulak nak cari kat negara orang ni. Kena pulak anak jenis cerewet. Tak ke naya? Untuk bayi yang dah mula makan, sediakan makanan yang mudah. Blender? Silakan kalau tak membebankan. Kalau tak sanggup, bawa je mangkuk mash andserve. Senang basuh dan ringan. 

Sumber Amazon : Bekas makanan ni merangkap sekali tempat lenyek makanan. Tak sampai 5 minit dah jadi puree makanan tu. Sesuai sangat buat travel.

6. PERSEDIAAN MENTAL DAN FIZIKAL Ni persediaan buat ibu bapa. Buat kajian kepada diri sendiri. Contoh yang perlu dipersoalkan bagi mengetahui permasalahan yang mungkin timbul:

Masalah : Larat ke?
Penyelesaian : Beli kendongan atau bawak stroller. Berlatih dulu guna pakai equipment tersebut.
Masalah: Fit ke badan?
Penyelesaian : Workout dulu sebelum berjalan lebih jauh. Ini bagi menstabilkan stamina.

Masalah : Kalau bayi meragam tiba-tiba?
Penyelesaian : Bawa anak jalan dekat-dekat dulu. Ke taman sejam, ke mall selama empat jam atau pergi bercuti dekat-dekat. Biasakan dengan situasi sebagaimana nak travel. Alah bisa, tegal biasa.

Kekuatan fizikal dan mental yang tinggi sangat diperlukan. Beg-beg dibawa sangat berat dan banyak. Anak-anak besar pun ada pelbagai karenah yang harus diambil peduli. 

7. PAKAIAN BIAR SESUAI.

Pakaian bayi perlu selesa mengikut cuaca negara yang bakal dilawati. Jika ke tempat sejuk, pakailah pakaian tebal yang mampu menahan haba badan daripada keluar. Jika ke tempat panas, baju tak perlulah berlapis-lapis. Nak ber OOTD untuk bayi boleh, asalkan tidak merimaskan. Bagi pakaian ibu, pakailah yang ringkas. Yang tak mudah berkedut. Senang cerita, ironless. Jimat masa. Tudung pun biar yang mudah-mudah je.

Niqrisa kena pakai baju nipis je memandangkan sentiasa dipakai baby carrier. Yang ibu pula dari tudung sampai ke kaki, ironless.

8. PAMPERS DAN JUMLAH PAKAIAN.

Tersangat la penting. Takkan kat sana baru nak beli semua tu kan. Sedia awal-awal berapa jumlah pampers dan pakaian. Kalau boleh, pampers hanya sekadar topup bila tak cukup di sana. Untuk pakaian, bawa secukupnya. Kalau habis guna sehingga hari akhir, basuh jela. Jangan bawa banyak sebab nak mengangkut tu berat. Berat baju ni boleh tahan juga.  

9. MOOD

Ada sebab bayi menangis. Antaranya masalah di pampers, sudah waktu bayi untuk tidur dan perut kena lapar. Atasi segala masalah bayi tu. Konpem perjalanan anda tidak akan diganggu dengan tangisan yang menggila. Takde siapa sanggup tahan dengan tangisan bayi. Nyaring!

Baby ni suka main. Hah, layan jela sembang dengan dia. Main ciku cak ke, sengeh-sengeh pun jadi la. Biar mood senantiasa ceria. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan takde lagi menangis, meraung. 

10. KELENGKAPAN BAYI

Beg persediaan semasa perlu dibawa ke mana-mana. Dalam beg tu mesti ada wipes, pampers, sepersalinan baju, tuala, plastik sampah, tisu, alas bayi, water spray dan apa yang dirasakan perlu. Sentiasa topup kelengkapan di dalam beg persediaan semasa ketika berjalan-jalan.

Bagpack kelabu tu sentiasa dibawa sewaktu keluar berjalan di siang hari. Dalam tu semua keperluan Niqrisa je. Tak campur pun dengan barangan lain sebab susah kalau nak cepat.
Krim ruam sapu ni sesuai sangat ke negara panas. Nampak merah je kat mana-mana celah, sapu ni je.

11. BERHENTI BILA DIRASAKAN PERLU

Tak usah nak kejar tempat tu. Perlu tahu akan kemampuan diri dan keluarga. Ini trip kita. Takde sangkut paut pun dengan orang lain. Follow your heart. Jalan-jalan santai bersama keluarga. Nikmati percutian tanpa rush. Kalau ikut yang pakej memang akan kelam kabut sebab nak ikut table kan. Elakkan ikut pakej. Buat sendiri lebih enjoy.

Dah penat, berhenti. Usah dikejar destinasi seterusnya. Santai-santai sudah la.

12. PASPORT

Bukan main lagi persediaan. Pasport baby pulak lupa. Mau kena tinggal. Hahahaa Buat la. Kejap je. Sejam lepas tu dah boleh amik. Susah ke buat pasport bayi? Klik link ni. Persediaan buat pasport Malaysia bagi bayi.

Enjoy moment sementara mereka masih kecil. Sebenarnya, makin besar, makin banyak ragamnya. Kecik-kecik lagi mudah nak atur. Cuma, persediaan tu yang paling penting. Mental dan fizikal perlu betul-betul sihat waktu travel jauh. Kalau tersinggung dengan anak, jangan marah. Nampak kita yang tak pandai nak handle. Budak-budak ni langsung tak tahu salah. Apatah lagi bayi kan. Kita as parents perlu kenali peel anak sendiri. Boleh tanya orang lain. Tapi situasi tak sama. Baca ni hanya sebagai persediaan. Nanti bila dah keluar bersama, hah, taulah bila berada di real situation. Cuma, bila dah ada pembacaan dan persediaan ni, minda dah set awal-awal AKU DAH GET READY nak hadap semua ni.

Waktu bersama dengan anak-anak bukan lama pun. Tup tup dah besar. Kejap je. Hargai mereka semasa masih diberi peluang. 

Macam mana nak tahu kalau tiada permulaan, kan. So, apa lagi? Tak kisah dalam atau luar negara, pergi la buat lawatan sambil belajar bawak anak-anak!!!