TALK
Vaksin Travel untuk bayi

Vaksin Travel untuk bayi

Tajuk kemain lagi. Seolah-olah beli perisai untuk bayi sendiri sebelum travel. Kah! Vaksin yang aku nak kongsi ni adalah vaksin yang kebiasaan orang ramai ambil tak kira umur pun. Tapi, amat bersesuaian buat puteri kecil kami memandangkan nak terbang ke luar negara.

Kejadian cucuk-mencucuk ni telah berlaku sebelum keberangkatan kami ke China. Bertarikh pada 2 Disember 2019 lagi. Selama ni tulis sikit dan disimpan di draft dulu sebab nak tengok keberkesanan vaksin ni macam mana. Alhamdulillah. Kini, aku akan bukakan cerita berdasarkan pengalaman di sana. Kiranya tambahan apa yang dah ditulis di dalam draft. 
Muka tak tahu nak dapat sakit hari ni. Haha

Aku paling risau kesihatan Niqrisa bila bab travel jauh. Dia baru berusia 1 tahun 6 bulan. Vaksin belum complete lagi. Perasaan risau berkemungkinan akan jatuh sakit seperti demam atau selesema semasa keberadaan di sana. Mengikut pengalaman sebelum ni, kalau berhingus sikit je pun pasti dapat demam. Suhu juga boleh mencecah 39’C. Nak selamat, aku pergi rujuk sendiri doktor. Dapatkan sendiri orang dalam bidang kesihatan. Doktor merupakan orang dalam ahli. Kalau tanya orang ramai ni merapu sikit jawapan. Bukan aku sombong, tapi semuanya berdasarkan kata orang tu, pendapat orang ni. Atas pengalaman sendiri belaka. Badan setiap orang tak sama. Tak perlulah jadi nujum membuat andaian semata.

Berbalik kepada cerita tadi, doktor menyarankan Niqrisa mengambil suntikan vaksin Influenza sebagai tambahan memandangkan usianya masih di bawah 5 tahun. Niqrisa berisiko tinggi mengalami komplikasi akibat jangkitan Influenza. Hal ni menakutkan aku dan suami. Mana aku nak minta pertolongan jika penyakit tu tiba-tiba dapat kat sana? Perkhidmatan negara orang tak sama dengan Malaysia.

Kenapa bukan vaksin pneumococcal? “Tidak perlu.” Ini pandangan doktor ketiga yang bagi jawapan sama. Niqrisa tidak mempunyai masalah kesihatan berkaitan paru-paru. Atas nasihat doktor-doktor, aku iyakan. Jika dibuat perbandingan, harga vaksin pneumococcal lagi mahal. Manakala vaksin Influenza hanyalah RM60 bagi satu suntikan. 2 suntikan diperlukan kepada bayi berusia 1 tahun ke atas. Maka harganya 2 kali ganda. Dan 3 kali suntikan jika bayi berusia setahun ke bawah. Bayaran pun perlu digandakan tiga.

Abah yang cuak waktu budak ni kena inject.

ADA BEZA TAK VAKSIN TAK VAKSIN NI?

Ya, ada. 2 minggu sebelum nak keluar travel, Niqrisa dijangkiti selesema. Kalau ikutkan pengalaman lepas, selesema ni akan datang sekali dengan pakej demam (ulang balik situasi perenggan di atas) Jadi, kami ni sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Takut badan Niqrisa tiba-tiba panas. Tapi, alhamdulillah, takde pun. Selesemanya hanya berlarutan selama 4 hari je. Kemudian kering tanpa susulan demam. Aku tak tau la sama ada disebabkan vaksin dah built elok dalam badan, atau memang antibodi dia dah meningkat bersama tumbesarannya. Apa pun, kami bersyukur sangat.

Itu kejadian pertama. Yang kedua, adalah sewaktu kami di China. Niqrisa dijangkiti selesema sekali lagi. Dah hari ke 7 tak silap aku di sana. Bukan disebabkan suhu sejuk. Tapi, petang tu Niqrisa ada main daun-daun di taman. Habis berhabuk dan kena mukanya. Biasa la. Cantik tengok daun kering dibaling. Sinematik la kononnya bila buat video. Kemudian, nampak dia bersin tak henti-henti. Sah, ini sebab main daun petang tu. Selesema takde la teruk sangat. Tahap meleleh macam air je. Kami ada bawa ‘Nasal Spray’ bersama kalau-kalau hidung tersumbat yang boleh mengakibatkan kesukaran bernafas.

Lebih kurang 5 hari macam tu, selesema Niqrisa dah baik. Hingus meleleh tu menjadi kering. Takde jugak demam. Walaupun ubat punggung memang dah bekal. Malam-malam pun kitorang sentiasa jaga-jaga. Terbangun je tak kira pukul berapa waktu malam, kami akan letak tapak tangan ke dahi dan leher Niqrisa. Waktu malam la paling risau sebenarnya. Alhamdulillah, semuanya takde apa-apa. Suhu badan Niqrisa adalah normal.

SEMUANYA ATAS KEHENDAK-NYA

Kita sebagai ibu bapa, perlu banyakkan buat research. Bawa anak tak sama dengan bawa diri sendiri. Akan melibatkan keselamatan sendiri dan yang dibawa bersama-sama. Kalau dah bawa 5 ahli bersama, maka perlu memastikan kesemuanya pergi dan pulang dalam keadaan selamat. Bukan semua vaksin bagus untuk semua orang. Dapatkan nasihat doktor. Ikhtiar dahulu. Apa yang berlaku, semuanya atas kehendak-Nya juga. Bukan bermaksud kita perlu terus redha tanpa berusaha mempersiapkan diri sebelum keluar travel. Bukan setakat google dan percaya bulat-bulat. Bawaklah berbincang dengan doktor. Nasihat dan pandangan doktor hanya bersesuaian dengan badan anak kita sahaja. Akhir sekali, barulah kita boleh tawakal dan sentiasa berdoa kepada-Nya agar dijauhi sebarang perkara yang tidak baik.

Jika seseorang nak masuk exam, setahun buat persediaan. Masuk kelas tambahan la, ulangkaji soalan tahun-tahun lepas la, banyakkan latihan la, belajar, belajar dan belajar lagi selagi belum menghadapi peperiksaan. Sama juga travel. Usaha dulu buat persediaan yang terbaik buat anak-anak. Tak rugi pun. Doa, usaha dan tawakal. Ini semua tips yang perlu diamalkan oleh seorang Muslim.

Tak kira berapa pun usia kita, Never Ending Travel

6 thoughts on “Vaksin Travel untuk bayi

Leave a Reply to Kak Fas Cancel reply