Aku highlight kan anak di tajuk kali ni. Sebab semasa kami ke Mt. Qingcheng sebelum ni, memang tak jumpa pun kanak-kanak. Mungkin bukan cuti sekolah kot. Hari Isnin adalah hari permulaan untuk yang bekerja. Jadi, tak heran la gunung ni tidak dipenuhi dengan manusia. Jadi, seronok la kami bergambar tanpa menampakkan kelibat orang lalu lalang di belakang yang terpampang dengan pemandangan yang indah. Tapi, gambar tak banyak pun. Penat sangat panjat tangga sampai lupa nak posing Fokus nak cepat sampai kat atas je.

Mt. Qingcheng berada di selatan Bandar Dujiangyan dan memerlukan masa 45 minit dengan menaiki bas. Hanya perlu bayar 2 yuan sehala. Jika anda dari Bandar Chengdu, anda perlu menaiki tren ke Stesen Xipu, dan seterusnya membeli tiket High Speed Train untuk menuju ke Qingcheng (10 yuan sehala) Walaupun perjalanan tren memakan masa 30 minit sahaja, anda disarankan datang awal pagi kerana tempoh siang semasa musim sejuk sangatlah pendek. Cepat aje langit beralih gelap.

Gambar peta adalah sumber ehsan daripada google. Perhatikan kedudukan Dujiangyan dan Xipu. Xipu Station terletak di bandar Pidu.
Walk in beli tiket di stesen dari Xipuke Qingcheng.

Disebabkan aku dan keluarga bermalam di Qingcheng Shan, kami sengaja melengahkan masa. Tak risau akan masa sebab dekat je. Bangun malas-malas, makan lambat-lambat, keluar rumah pun lebih kurang pukul 10 pagi. Aku dan keluarga tiba di Mt. Qingcheng pada waktu petang. Dah pun melepasi waktu Zohor. Sebelum tu kami berfoya-foya dulu di Jieze Ancient Town. Entri semasa melawat Jiezi belum dibuat lagi.

Orang tak ramai pun di Mt. Qingcheng. Mungkin kami pergi bukan pada hari cuti hujung minggu. Di bulan Disember pulak tu. Musim sejuk macam ni orang lebih minat membesarkan tapak tangan depan bara api. Takde la nak kena beratur panjang tiap kali membeli tiket atau naik pengangkutan. Bagi yang datang berkereta, anda perlu parking dulu di dataran yang disediakan. Host Airbnb yang menghantar kami sekeluarga ke sini. Baik betul host kami ni. Siapa dia, tak perlu diperkenalkan. Dia tidak mahu dikenali dan meminta kami agar merahsiakan identitinya.

Ok. Ada satu kaunter berdekatan dataran parking. Ingatkan inilah kaunter tiket masuk ke Mt. Qingcheng. Rupanya ini adalah kaunter tiket shuttle bus ke pintu masuk bukit. Kalau nak jalan kaki pun takde masalah. Tapi tak mungkin bagi aku sekeluarga. Jauh jugak nak menapak. Lebih kurang 1.5 km nak sampai ke pintu masuk. Bila dah masuk sana, nak kena panjat tangga lagi. Untuk jimatkan tenaga, bayar jela sebanyak 10 yuan sekepala, tak sampai 10 minit dah pun sampai. Kuat betul berangin semasa naik shuttle bus. Terasa dingin di tangan.

Kaunter beli tiket shuttle bus ke pintu masuk gunung.

Dari tempat shuttle bus drop, kami perlu berjalan 300 meter lagi ke hadapan dan jumpa la satu kaunter tiket sebenar untuk masuk ke bukit. Sempat lagi berkira-kira nak masuk ke taknak. Tapi, memandangkan harga tiket masuk dah dikira dalam perbelanjaan, bayar jela. Rugi la dah datang tapi tak masuk. Kena pejam mata bayar tiket walaupun harganya boleh tahan.

Kawasan luar pun bukan main lagi menyajikan view yang mengancam.

Semasa suami aku sedang membeli tiket, aku ditegur seorang amoi. “Where are you from?” Aku jawab “We’re from Malaysia.” Menjerit mak dia sebelah sebab tak sangka kot anak boleh cakap Inggeris. Berkerut jugak kening ni tengok gelagat dua beranak ni. Aku tanya balik, “Can you speak English fluently?” Meiyo. Wo, meiyo.” Sambil gelak-gelak dan tunjuk isyarat tangan tak boleh. Melompat mak dia tanda kegembiraan. Pebenda la… Satu ayat je pun. Kemain gembira. Korang gembira tak kalau anak boleh speaking? Tanya jer.

Serah tiket dan masuk. Kali ni tak naik dah shuttle bus. Pengangkutan kami hanyalah kaki. Baru nak mula mendaki tangga, Niqrisa pulak merengek nak susu. Susah la dik oi bila berada di kawasan terbuka macam ni. Terpaksa berteduh di satu wakaf yang agak tersembunyi agar boleh cover kami berdua. Time nak menyusu tu jugak la, ada orang datang menyapu. Lama pulak tu nak siap. Adoii.

Selesai menuruti kemahuan Niqrisa, dia mengamuk pulak taknak bergendong dengan abah. Aku waktu ni dah tak mampu nak dukung sebab berat Niqrisa ni dah overload… Kami buat keras hati dan pakaikan jugak baby carrier pada abah dengan dia sekali. Menjerit sampaikan bergema satu bukit. Aku bagi biskut kat tangan barulah boleh diam. Kena sibukkan dia dengan aktiviti makan. Barulah kami semua dapat menikmati alam dengan aman.

Dari bawah sampai la ke atas, semuanya bertangga.

SEBAB KAMI MEMILIH MT. QINGCHENG

  • Cuaca yang nyaman. Sengaja kami pilih musim sejuk ke sini. Takde la peluh merecik satu badan.
  • Musim sejuk menjadikan pokok di gunung kelihatan bewarna-warni. Cantik.
  • Orang tidak ramai. Mungkin sebab hari Isnin. Tapi, percayalah. Orang tak minat sangat naik bukit ni.
  • Riadah keluarga yang sangat sesuai untuk semua peringkat umur. Bayi boleh kendong je. Anak-anak larat je naik tangga. Stamina kena tinggi.
  • Mengenali budaya dengan lebih dekat. Bukit ini merupakan tempat kelahiran Agama Taoisme. Ada la beberapa tokong ditemui sepanjang pendakian. Tapi, kami tak masuk pun. Banyak say hi apabila berselisih dengan pendaki lain je.
Setakat ni la, aku perasan semua tempat keagamaan kelihatan sama je. Tak kira apa agama sekalipun. Sama je bentuk binaannya. Dan, bangunan berusia lebih 1000 tahun.

Kami takde la panjat sampai ke puncak. Cukup sehingga jumpa tasik di atas gunung. Ada bot yang membawa pendaki ke seberang bukit lain. Mulanya aku taknak. Walaupun harga tiket cuma 5 yuan sehala, tetap membazir aku rasakan. Bayangkan harga tu digandakan lima. Pastu, nak balik semula kena bayar lagi. Jadi, aku cakap kat budak-budak ni, “Jalan kaki lebih jimat.” Yelah tu. Sampai seberang, tak larat nak jalan lagi sekali. Terus beratur beli tiket sorang satu dan patah balik naik bot. Budak penat takpe. kalau ibu penat, rela keluarkan duit demi 2 minit perjalanan. Haha

Aku tak baca sangat sejarah tempat ni. Yang aku tau tasik ini merupakan kawasan tadahan air hujan. Nak panjat tinggi lagi? Tak mampu dah kaki ni nak melangkah.

Aku bagi ranting 4/5 Mt. Qingcheng ni. Perasaan tak puas lagi sebenarnya. Ini disebabkan belum sampai ke puncak. Memang la tak tinggi sangat pun. Hanya berketinggian 1260 meter sahaja dari paras laut. Masa cukup dengki dengan kami. Hari pun hampir menjelang malam. Sebelum langit bertukar gelap, lebih baik kami cepat-cepat balik. Suhu pun dah mulai menurun. Kesian pulak anak-anak kesejukan nanti. Turun tangga lebih cepat berbanding naik. Mungkin kita tidak lagi menggunakan beban badan. Namun, boleh sakit lutut kalau turun dengan cepat. Perlukan soft landing di tapak kaki.

“Hello, are you from Malaysia?”

Wow, terserempak dengan orang Malaysia kat dalam hutan la! Tak pasti sama ada mereka boleh cam dengan lihat dari sudut pakaian atau mendengar sleng Klate kami. Sambil jalan, kami berborak sehingga la sampai ke tempat menunggu shuttle bus. Seronok dapat jumpa orang kita di tempat asing macam ni. Automatik menjadi mesra biarpun tak kenal. Paling seronok dapat pujian yang mereka berasa kagum akan kegigihan kami bawa anak ke tempat pelancongan tidak berapa dikenali di kalangan rakyat Malaysia. Kembang hidung jap.

Aku dan suami kurang gemar pergi tempat familiar orang kita. Taknak la jadikan satu-satu tempat tu sebagai satu kemestian untuk pergi. Hidden place is best place to explore. Tak semestinya orang tu pergi rasa seronok dan kita pun turut mendapat perasaan yang sama. Macam kami ni, kalau boleh nak elakkan pergi tempat yang sesak yang boleh menyebabkan kesukaran kami mengawal anak-anak.

Pintu keluar gunung adalah sebelah kanan. Kiri tu adalah pintu masuk.

RINGKASAN KOS

Tiket tren stesen Pidu (Chengdu) – Qingcheng : 10 yuan Tiket bas (dari Dujiangyan) no.101 / 102 : 2 yuan/ person Shuttle bus kawasan gunung : 10 yuan/ one way. 20 yuan/ return Tiket masuk gunung : Dewasa 80 yuan. Kanak-kanak 40 yuan. Ketinggian badan bawah 130 cm – percuma. Jumlah keseluruhan : Kira ikut bajet sendiri. Aku cuma pecahkan kos bagi memudahkan sesiapa yang berhajat ke sana.

β€˜COME AND YOU’LL NEVER BE ABLE TO LEAVE’ new slogan China start 2019