TALK
Hikmah tinggal di luar negara ramai yang tidak tahu

Hikmah tinggal di luar negara ramai yang tidak tahu

Entri sebelum ni aku ada memaparkan pengalaman yang tidak menyeronokkan berada di luar negara. Tak seronok, tidak bermakna takde langsung kebaikan diperolehi.

Tidak adil kiranya jika entri kebaikan tidak dipaparkan. Allah itu maha adil. Dia berikan kedua-duanya untuk kita rasa. Dan Dia juga maha pengasihani. Tak mungkin keburukan sahaja dibebani kepada hambaNya. Ada hikmah setiap apa yang berlaku. Sebagai hambaNya yang beriman, kita harus fahami konsep qada dan qadar.

Sama seperti sebelum ni. Setiap kali aku keluar mengembara, tidak kira lama atau sekejap tempohnya, pasti aku akan kongsikan di blog supaya dapat dijadikan persediaan buat orang lain. Kali ini, kami menetap di Turki. Walaupun hanya beberapa bulan sahaja, aku ingin ceritakan serba sedikit apa yang aku rasai.

Pengalaman, adalah guru yang terbaik buat aku. Bukan buku.

1. Duduk dalam kasut orang lain

Selama ni aku dan suami boleh dikatakan hidup dengan agak senang. Tidak berkira-kira mengeluarkan duit berbelanja harian. Tapi, bila kami pindah keluar negara tanpa ada sebarang duit gaji tetap, kami mula rasai bagaimana berada dalam kasut orang lain.

Aku sendiri akui mula memahami orang yang hidupnya bercatu dalam membeli makanan untuk dihidangkan di atas meja buat anak-anaknya.

Sukarnya mendapat pekerjaan di saat kesulitan. Ya, bukan semua orang bernasib baik. Ada orang cakap tidak ada susahnya mendapat kerja jika berkelayakan.

Tidak.

Jangankan di luar negara, di negara sendiri pun susah nak dapat pekerjaan. Lebih-lebih lagi di zaman wabak pandemik yang melanda seluruh dunia. Kesannya kepada semua negara.

Apa yang ingin aku sampaikan di sini, perasaan orang dalam kesusahan itu sangat dekat dengan hati aku kini. Jiwa aku mudah tersentuh bila mendapat perkhabaran orang hilang punca mata pencarian, kehabisan stok makanan untuk dimakan bersama ahli keluarga, anak yang terputus bekalan susu dan segala macam lagi.

2. Kenali budaya

Selama ini kita hanya dikelilingi dengan tiga budaya besar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Sambutan perayaan paling banyak pun adalah bersandarkan dengan tiga bangsa berkenaan.

Bila kita keluar negara, pengetahuan kita tentang budaya dan adat makin meluas. Biarpun sesama Islam, perbezaannya tetap ada. Tak kisahlah apa pun budaya yang kita temui, terima dengan berlapang dada.

Lebih-lebih lagi bila hidup di negara Islam tapi mazhab yang lain. Atau di negara bukan Islam yang mempunyai komuniti Islam. Usahlah menganggap kita yang paling terbaik. Hormati setiap pandangan dan pendapat supaya kita hidup harmoni.

Apa yang baik kita amalkan. Apa yang buruk, tinggal-tinggalkan.

3. Bersyukur

Alhamdulillah… Aku biasa ungkapkan syukur kepadaNya. Namun, ungkapan alhamdulillah di sini menjadi lebih bererti. Susah digambarkan. Nikmat Allah bagi membuatkan aku lebih menghargai. Alhamdulillah yang disebut disebut dengan penuh pengertian. Rasanya hingga ke hati.

Sebelum ini rezeki Allah turunkan kepada aku sekeluarga adalah biasa. Rezeki kesihatan fizikal dan mental, ilmu dan dipertemukan dengan orang baik-baik adalah satu nikmat yang Dia sahaja tau.

Kalau sebelum ni aku rasa rumah aku dulu kecil, sekarang mujur ada jugak rumah. Kalau dulu aku rasa nasi itu membosankan, kini nak jumpa beras pun susah. Kalau dulu ingatkan sejuk itu seronok tidak perlukan aircond, salah. Anda perlukan heater pulak nak hangatkan seluruh bilik.

Apa pun, banyak yang aku dapat muhasabah diri dan menjadi seorang insan yang bersyukur kepadaNya.

4. Rindu

Ini semestinya. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula bila dah jauh dari negara tumpah airku.

Dulu bosan sangat kena lalui rutin sama setiap hari. Pergi kerja, hantar anak, balik masak dan tidur. Begitulah duk pusing-pusing sehingga 15 tahun lamanya.

Jalan dan kedai di dalam bandar sudah puas aku jejak. Pejam mata pun rasanya boleh pandu keliling bandar. Nama kedai pun aku dah hafal satu-satu. Haha

Kini, aku rindu. Aku rindu ingin menerima arahan daripada pentadbir. Rindu dengan kedai yang biasa aku akan masuk membeli pada pukul 1 pm. Rindu juga dengan suasana kalut di waktu menghantar dan mengambil anak.

Nikmatilah setiap apa yang kita lakukan. Itulah yang akan dikenang. Perasaan rindu sampai tahap aku nak balik semula ke masa sibuk itu.

Keluarga tak rindu ke? Ini boleh buat leleh bila bercerita. Mana mungkin orang akan melupakan ahli keluarganya. Masakan? Dah, dah. Bukan setakat rindu, boleh berkeroncong perut tau.

5. Menghargai

Kau akan lebih menghargai setiap perkara yang ada di sekeliling. Aku tak ramai kenalan di sini. Berapa ramai sangat orang Malaysia. Tapi kami berhubung baik sesama kami.

Makanan yang yang ada, tidak mungkin dibazirkan. Sayang la. Bukan mudah nak sediakan makanan orang Malaysia di negara asing. Buat ngam-ngam je. Beza dulu. Lebih skit masuk peti dulu sebelum buang. Allahuakhbar…

Bila terbit rasa syukur, kita akan automatik rasa menghargai. Betul. Hidup dah jadi taknak berlebih-lebih. Hanya menghargai apa yang ada.

Aku sekeluarga memilih untuk hidup sederhana.


Cukup la lima perkara aku kongsikan. Banyak lagi. Aku harap yang ingin berhajat untuk tinggal di luar negara tu usah tangguhkan. Cuba la. Allah takkan sia-siakan apa yang bakal kita alami. Ada sesuatu Allah nak sampaikan.

Kalau dulu kita rasa semak dengan apa yang dilakukan sehari-hari, mungkin kita cuba ubah nasib dengan berhijrah. Sekejap pun takpe. Takde limit pun berapa lama untuk menetap.

Syukur ya Allah aku diberi kesempatan mempunyai pengalaman ini. Biarpun orang cakap rugi masa dan duit. Entah la. Ini pilihan aku dan suami. Memang sanggup berhabis harta pun semata-mata nak rasai sendiri.

Sanggupkah? Beranikah anda?

2 thoughts on “Hikmah tinggal di luar negara ramai yang tidak tahu

Leave a Reply