Kereta rosak semasa road trip ke Cappadocia – [Ankara–Gerome] #ep2
Ikuti kisah dan pengalaman aku sendiri iaitu5 sekeluarga dengan menyewa kereta serta melakukan road trip selama 6 hari yang bermula di Istanbul – Ankara – Cappadocia – Eskişehir – Bursa – İstanbul. Jumlah keseluruhan pemanduan ini adalah 1527 km, yang memakan masa hampir 20 jam perjalanan.
Ini merupakan sambungan daripada entri Sewa kereta buat road trip round Turki – [Istanbul – Ankara] #ep1 bertarikh 19.2.20121. Perjalanan seterusnya bermula dari Ankara ke Cappadocia. Selesai bermalam semalaman di Anatollia Hotel, pagi-pagi lagi kami terus berangkat menuju ke Göreme untuk menginap.
25 Disember 2020
Pagi kami hari ini tidak sekalut kelmarin. Nyenyak tidur kami setelah melalui pelbagai perkara yang tidak disangka. Anak-anak pun bangun dengan penuh keterujaan. Tak sabar nak lalui lagi perjalanan yang jauh.
Sebelum bertolak, kami turun ke kafeteria untuk makan pagi. Dah tersedia dalam perkhidmatan penginapan satu malam. Mudah la. Tak perlu nak pergi mencari makanan. Kami ni ramai. Musim sejuk pulak tu. Tak daya nak menahan kesejukan suhu -5 darjah celsius.
Brrrr
Kami ingatkan kafeteria menyediakan makanan seperti mana hotel antarabangsa yang lain. Kebiasaan roti bakar disapu jem, susu dimakan bersama sereal atau telur hancur. Hidangan kami adalah makanan Turki. Asli punya!
Memang tak pernah jamah biarpun dah 2 bulan lebih di Istanbul. Mana reti nak makan oii… Elok juga. Boleh la belajar. Ada cheese, roti, zaitun, telur rebus, sosej, timun dan ada lagi yang aku sendiri lupa. Dan yang paling penting, chai. Kita panggil teh o. Hihi
Selesai makan, kami naik semula ke bilik untuk siapkan beg. Takde nak mandi pun. Mandi kena waktu malam. Baru tidur tu selesa. Pagi ni sekadar basuh muka, gosok gigi dan membuang jela. Tak kuasa kami nak mandi suhu bawah takat 0 darjah. Air panas pun tak jadi sebab akan menyebabkan kulit menjadi makin kering.
Lebih kurang pukul 9 pagi, kami bertolak dari Anatolia Hotel ke Cappadocia. Kami akan bermalam di Göreme nanti.
Jarak perjalanan kami sejauh 331 km. Jika dengan kereta mengambil masa selama 3 jam 24 minit. Ini dalam google. Realitinya adalah selama 12 jam. Toksah percaya la. Kami ni entah berapa kali berhenti.
Pertama, kami berhenti di Tuz Gölü . Sana merupakan tasik garam terbesar di Turki. Kami tersalah jalan. Terpaksa pusing balik. Sebelum pusing, cari kedai makan dulu. Kedai banyak tutup disebabkan curfews. Bila dah jumpa, tunggu makanan lama pulak. Bila berpatah balik, pun makan jarak berkilo kilometer. Bila dah sampai, teruja bukan main nak shoot video kat situ.
Sekali, kelepek! Adik jatuh atas lumpur air masin. Adududu… Tak sampai 5 minit pun kami di situ nak menikmati keindahan alam. Dah nak kena hadap selut melekat di baju, kasut dan seluar. Habis satu set head to toe pakaian adik. OOTD adik hancusss…
Yang kami ni pun ada la melekat sikit-sikit. Boleh tahan lagi. Memadai sapu pakai tisu basah sahaja. Adik memang kena tukar one set. Mujur la bawa lebih kasut, seluar dan jaket. Sekiranya kami yang lain jatuh macam tu, memang beli lain la jawabnya. Mana ada spare!
Menikmati 5 minit, kalut 30 minit. Ok la tu. Takde nak ambil gambar atau video, kami teruskan perjalanan.
Kena jugak berhenti sekali lagi di Aksaray untuk solat jamak Zohor dan Asar. Masjid pertama, loya dengan tandas. Masjid kedua, comey sangat sampai nak basahkan lantai pun tak sanggup.
Kami pun takde la solat semata-mata. Ada la jugak masuk kampung untuk layan pemandangan. Cantik betul. Kawasan perkampungan yang rumah antara satu sama lain jauh-jauh. Setiap rumah seolah mempunyai seluas padang bola. Besar la.
Tanpa berlengahkan masa, suami teruskan pemanduan menuju ke destinasi. Konon. Berhenti jugak kejap tepi jalan ambil gambar sunset. Cantik sangat. Langit berwarna merah jambu berselang dengan biru muda. Perasaan seperti insta femous, apa lagi? Posing la!
Langit dah mula gelap. Signboard menunjukkan lagi 5 km lagi nak sampai ke hotel penginapan kami. Dan kami terpaksa berhenti di tepi jalan disebabkan tayar pecah.
Selepas kereta diberhentikan di tepi jalan, suami terus keluarkan barang kami di tepi jalan dan mencari tayar spare serta tools box. Tayar je ada. Tools nya takde. Aku dah terdiam dah. Suhu dah cecah -5 darjah celsius waktu tu. Yang si bongsu sedap tidur. Abang dan Kakak tertanya-tanya.
Suami menghubungi pihak sewa kereta untuk membantu kami. Malangnya, dia menyuruh kami pandu sehingga jumpa stesen minyak. Aku taknak kedai pun. Nak drive sampai mana???!
Tanpa diduga, ada lori kecil berhenti sebelah dengan kereta kami. Namanya Mustafa. Mujur.
Dia merupakan seorang yang bekerja di kedai tayar. Nasib baik tu berpihak kepada kami. Tiba-tiba je kan.
Marahnya Mustafa tu kepada pihak kereta kerana mengambil mudah tentang tools yang sepatutnya ada untuk kecemasan. Membebel-bebel Mustafa dalam bahasa Türki. Sebenarnya suami aku yang ceritakan balik. Aku dan anak-anak ditinggalkan di tepi jalan sementara suami dan Mustafa ke bengkelnya mengambil tools. Waktu tu aku tawakal jela. Hanya berserah kepada Allah untuk hadirkan orang yang baik-baik.
Alhamdulillah. Mustafa membantu menukar tayar tak sampai 15 minit. Dah kerjanya. Memang laju. Upahnya sebanyak 150 TL. Lebih kurang RM75. Aku pernah kena kat Genting Highlands. Meter air dah nak high, berhenti la tepi jalan nak sejukkan. Sekali orang datang tiup-tiup dan masukkan sebotol air mineral. Cas RM150. Lebih kurang je harga. Currency berbeza… Hmm… Ada relate tak?
Dengan ucapan berjuta terima kasih, kami berlalu lega dengan memasuki stesen minyak untuk membeli makanan. Kalau ikut kata pihak kereta tadi pandu ke stesen, jauh jugak wei…
Lebih kurang pukul 10 malam jugak kami tiba di Hotel Milat. Ingatkan dah boleh masuk bilik. Sekali kad kredit dan kad debit kami tidak diterima. Mau nak menangis ketika itu. Rupanya waktu di Malaysia dah tengah malam. Patut la transaksi tidak berjaya. Nasib baik juga hotel tak kisah buat pembayaran di esok pagi.
Fuh, penatnya… Penat mental dan fizikal.
Ingatkan kisah nak dapatkan kereta tu susah. Rupanya dah ada kereta lagi susah. Hahaha Macam-macam hal kami lalui. Esok entah macam mana pulak. Kami pun masing-masing duk tersenyum. Kemudian tergeleng-geleng.
Satu pengalaman patut dikongsi kepada orang lain. Jangan ingat mengembara ni semuanya indah. Banyak yang perit. Indah tu akan rasa selepas kita balik nanti. Waktu tu, yang pahit dah bertukar menjadi manis.
Percayalah!
1 thought on “Kereta rosak semasa road trip ke Cappadocia – [Ankara–Gerome] #ep2”
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.
[…] Kereta rosak semasa road trip ke Cappadocia – [Ankara–Gerome] #ep2 […]