TALK
Tertekan urus PDPR anak-anak

Tertekan urus PDPR anak-anak

PDPR ini bukan di Malaysia sahaja. Di negara lain pun turut sama mengarahkan sekolah mengadakan pembelajaran secara maya. Hal ini bertujuan menjaga keselamatan anak-anak daripada terkena jangkitan wabak Covid-19 yang telah melanda di seluruh dunia.

Siapa nak anak-anak kita terdedah dengan penyakit. Lebih-lebih lagi virus yang berbahaya. Jalan terbaik adalah dengan mengadakan pembelajaran dan pengajaran di rumah.

Anak-anak aku juga tidak terkecuali. Tension juga pada awalnya disebabkan aku juga seorang guru. Perlu menyediakan bahan dan mengajar. Nak tengok anak-anak belajar ke tidak. Tapi, terus terang aku cakap. Aku tidak sempat nak ajar anak-anak aku sendiri. Lebih mengutamakan kejar kerja hakiki sebagai pendidik bagi pelajar aku.

Bagaimana aku uruskan anak-anak? Bila dah nama pun ibu bapa, aku kena pastikan mereka masuk kelas. Tak kisah la cikgu sekolah mereka nak bagi buat kelas macam mana pun. Online, ke offline ke. Janji anak aku perlu sertai.

Cikgu-cikgu akan berinteraksi dengan murid menggunakan talian Whatsapp, Telegram dan Google meet. Maka, aku perlu menyediakan internet. Aku dan suami pun perlukan data internet tanpa had memandangkan kami pun mengajar secara atas talian.

Aku beli prepaid internet U-Mobile tanpa had dengan bayaran bulanan RM70 tidak silap aku. Aku tak pasti. Tapi tidak semahal streamix. Setakat ini, takde masalah dengan internet. Satu keluarga boleh guna. Siaran televisyen pun pakai internet juga.

Gajet pula? Memang kena pakai phone. Kami sediakan seorang satu. Seorang anak pakai telefon lama kami. Yang seorang lagi pula dapat phone baru. Suami tukar plan talian. Bayar je RM1 dan dapat telefon. Bukan bayaran bulanan pun. Prepaid. Ok la kan.

Laptop pun kami sediakan setiap seorang. Kami dapatkan laptop rosak dengan percuma. Ada rakan yang bagi je. Apa lagi, baiki la. Akhirnya, dapat digunakan buat menaip dan selesaikan kerja sekolah.

Aku tidak mengajar anak. Aku tak sempat. Suami lagi la. Dia pun sedang belajar. Belum tamat lagi. Jadi dua dalam satu. Mengajar dan belajar. Mana la sempat kami suami isteri nak ambil tahu hal anak-anak. Biarpun kami sama-sama di rumah.

Caranya, aku install Family Link dalam phone anak-anak. Boleh pantau dan hadkan masa penggunaan satu-satu aplikasi. Aku suka sangat. Semak daripada jauh pun boleh. Nampak lebih masa pada youtube, aku tekan block.

Jika anak-anak tidak faham dalam satu-satu mata pelajaran, aku arahkan mereka mesej sendiri cikgu. Tak kuasa aku nak layan. Aku pun tak putus-putus bermesej dengan students sendiri. Biar anak-anak merasai seperti di dalam kelas sebenar. Bertanya dengan cikgu jika tidak faham. Tanya aku pun, kadang-kadang aku pun tak boleh jawab. Bukan dalam bidang aku. Penat otak wei…

Kenali la anak kita. Peel mereka ni ibu bapa je faham. Tak boleh minta cikgu. Mereka anak kita. Guru tugasnya hanya mengajar. Peranan ibu bapa perlu pastikan anak masuk kelas dan belajar.

Situasinya sama sahaja dengan sebelum pandemik. Kita perlu hantar anak ke sekolah. Bukan cikgu yang jemput. Lambat sampai, semestinya bermasalah daripada rumah. Takkan nak salahkan masa yang sekolah dah tetapkan.

Malasnya anak kita, kita lah cari cara selesaikan. Bincang la dengan guru. Anak tidak siap kerja sekolah, mana silapnya? Adakah guru bagi terlalu banyak? Atau anak timbunkan kerja untuk disiapkan di waktu akhir? Jikalau anak tidak faham, adakah anak sudah bertanya pada gurunya?

Cuba kaji masalah anak. Sebelum menuding jari kepada banyak pihak. Akhirnya jari lain sedang menuding kita tidak perasan.

Aku tidak mengatakan anak aku bagus. Tidak juga mendabik dada yang aku pandai mengurus anak. Bila dah nama anak, ada silapnya juga. Mereka masih muda. Perlu bimbingan dan pemantauan. Kami pernah telefon cikgu memohon maaf atas kesilapan anak yang melampau dalam membalas mesej.

Aku pun pernah merotan anak akibat mereka leka dengan gajet. Langsung tidak siap kerja sekolah. Sengaja dilewatkan kerja semata-mata nak layan Tiktok dan IG. Pernah menipu kami berkali-kali. Makan ubat walaupun tak sakit pun pernah. Punya la bodoh aku rasa ketika tu.

Tapi, kita ibu bapa. Aku kena pegang satu je. Itu amanah Allah. Nak taknak, aku takde pilihan. Tanggungjawab ibu bapa perlu dilunaskan sehingga mereka dewasa. Apa yang aku buat ni berdasarkan kemampuan ekonomi dan pengetahuan aku. Tidak terpakai kepada semua. Cuba la cari jalan bagi kasut anda sendiri.

Tak kira la pembelajaran di mana pun, kita kena pastikan anak belajar. Jangan ambil kerja cikgu. Jalankan kerja kita sebagai ibu bapa.

Aku takde niat nak mengajar. Aku nak ibu bapa di luar sana bertenang. Letakkan sempadan. Kita ibu bapa. Bukan cikgu. Aku cikgu dan ibu. Sangat memahami di kedua-dua pihak. Dan, jika anda tidak berpuas hati dengan cikgu, sila hubungi cikgu berkenaan sahaja.

Sebenarnya, yang bermasalahnya hanya cikgu seorang tu je. Tapi, seluruh warga guru dihentamnya. Aku pun tak mintak kena kecam ni. Nak bantu.

Yang buruk tu daripada aku. Yang baik tu daripada Allah. Sama-sama la kita buat yang terbaik untuk anak-anak. Mereka generasi masa depan. Kita bakal tua dan mereka aset negara paling berharga.

Leave a Reply