Bangkok
Malaysia ke Bangkok dengan tren – Siri I

Malaysia ke Bangkok dengan tren – Siri I

Kami menyediakan catatan perjalanan kami dari KL Sentral – Hatyai – Bangkok – Hatyai – KL Sentral. Perbelanjaan yang kami gunakan sepanjang trip ini sebanyak RM1960 secara kasar. Jumlah tersebut merangkumi semua termasuk hotel, tiket tren, makan minum, teksi, ole-ole dan aktiviti lain. Perjalanan ini juga kami tujukan kepada keluarga yang mempunyai anak berumur empat tahun ke atas sahaja. Ini kerana, jika anak yang terlalu kecil, kemungkinan masih memakai lampin pakai buang, penyediaan susu botol dan pastinya masih mahu berdukung dengan ibu bapa menyebabkan kesukaran dalam perjalanan maupun persiapan barang yang berlebihan. Maklum sahajalah, pampers, susu, dan pakaiannya sangat banyak. Kami hanya menggunakan dua beg sahaja untuk pakaian empat beranak selama lima hari. Satu beg yang besar untuk pakaian, itupun dah seberat 9 kg, dan satu lagi macam beg sekolah untuk alatan mandi serta makanan. Perjalanan kami banyak berjalan dan stroller baby sangat tidak sesuai disebabkan lantai berjalan yang tidak sekata. Sebaiknya tidak menggunakan beg tarik kerana akan merugikan anggota tangan. Tangan sepatutnya memegang tangan anak supaya tidak berada jauh daripada kita.

Perjalanan ini memakan masa selama dua hari untuk tiba di Bangkok yang bermula di KL Sentral dan bermalam di sana selama satu malam. Kemudian pulang semula ke tanah ari dua hari kemudian. Tarikh perjalanan bermula pada 1 Dis 2015 hingga 5 Dis 2015 (5 hari) telah menelan belanja yang tidaklah begitu tinggi bagi kami. Objektif kami adalah untuk berada di atas tren dan tidak membuat lawatan ke tempat-tempat menarik di Bangkok. Namun begitu, kami amat berpuas hati apabila target kami dapat dicapai dengan menaiki tiga jenis keretapi yang berlainan jenis iaitu tren KTM, Rapid Train dan Express Train. Jarak yang kami lalui yang bermula di KL Sentrak ke Padang Besar Perlis adalah 506 km, seterusnya ke Stesen Keretapi Hatyai sejauh 56.8 km dan diteruskan pula ke Stesen Hua Lamphong Bangkok sejauh 940 km lagi. Jumlah jarak kesemua perjalanan bagi sehala adalah 1502.8 km (bersamaan dua hari perjalanan).

Pelbagai pengalaman terpaksa kami tempuhi bersama dengan anak-anak, dan merekalah yang paling seronok sehinggakan apabila sekembalinya kami di bumi Malaysia, anak-anak bertanyakan bila kami akan menaiki tren lagi. Sebagai ibu bapa, kami turut gembira kerana cuti sekolah ini telah memberi manfaat kepada mereka  bagi menikmati pengalaman yang tidak mampu ditukar ganti dengan wang ringgit.

  

 
Map perjalanan keretapi dari KL Sentral ke Stesen Hua Lamphong Bangkok dengan jarak 1502.8 km

 

Ikuti kisah kami #4beranak di sini.
1 Disember 2015 (SELASA)

Kami telah membeli tiket secara online dan masih lagi kami ingat, server line time tu sangatlah teruk. Seolah-olah line internet jem. Kami cuba dua hari barulah dapat book tiket KTM ke Hatyai. Kami sampai ke KL Sentral pada pukul 11.40 malam. Ramai juga orang dah tunggu di hadapan pintu masuk. Tiket kami menunjukkan pukul 12.15 malam akan bergerak, namun bila kami compare tiket dengan penumpang lain, yang beli di kaunter KTM, waktunya berbeza iaitu selama 15 minit. Akhirnya, tren sampai tepat jam 12.30 malam dan bergerak lebih kurang 5 minit selepas ketibaan. Memang berkejar kami mencari coach L8. Rupanya berada di hadapan sekali. Bila dah masuk ke dalam, katil telah siap dipasang dan mendapati telah ada penumpang di dalamnya sebelum tiba ke KL Sentral. Macam mana nak cam? Kalau kain langsir tertutup, maknanya ada penumpang la dalam tu. Katil kami bernombor 25, 30, 31 dan 32. Dua katil di atas dan dua katil di bawah. Anak pula masing-masing tidur di katil sendiri. Tiket bagi katil bawah lebih mahal berbanding dengan katil atas. Katil di bawah berharga RM58 bagi dewasa dan RM39 bagi kanak-kanak 11 tahun ke bawah. Harga tiket bagi katil atas pula adalah RM55 bagi dewasa dan RM33 bagi kanak-kanak. Sukanya mereka tak payah cakap la. Cepat-cepat kami arahkan mereka tidur supaya tidak bising di dalam tren sebab dah ada penumpang yang tidur. Jam dah menunjukkan pukul 1 pagi. Kami pun dah penat selepas seharian menempuh perjalanan dari Kemaman, Terengganu ke KL pagi tadi. Pada mulanya, kami niat nak terus tidur. Tapi disebabkan tren ni asyik bergoyang-goyang, kami terpaksa amik masa sikit untuk lelapkan mata. Kalau duk di katil atas, terasa seperti berada di dalam keranda pun ada juga. Kalau kat bawah, boleh tahan sikit seolah-olah macam bilik. 
 
Keadaan dalam tren KTM. Signboard atas menunjukkan nombor katil.

Gambar tambahan yang dimuatnaik pada 11/12/15
 

 

 Pandai Nufail amik gambar kami.
 Sesi memujuk Naura yang bengang dengan kelambatan tren KTM
Nufail dikejutkan oleh Naura sebab tak patut tidur di lantai.
 Peace!
Ramai juga yang menaiki tren pada waktu 12.30 malam.
 
Bersambung untuk Siri II dengan pengalaman berada di imigresen di Padang Besar Perlis dan kesusahan kami semasa di Stesen Keretapi Hatyai. 
 
Di akhir pengembaraan ini, kami akan menyediakan videoklip Kembara Ke Bangkok.

Klik di sini untuk menempah tiket secara online dari KTM ke Hatyai https://intranet.ktmb.com.my/e-ticket/Booking.aspx
 
AMAZING THAILAND BEGINS WITH THE PEOPLE

1 thought on “Malaysia ke Bangkok dengan tren – Siri I

Leave a Reply