Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi. Siri sebelum ini mendapat sambutan daripada pembaca terutama rakan kami. Oleh itu, kami sambung lagi pengalaman hari ketiga kami setelah lama menunggu di Stesen Hatyai. Nak tak nak, perjalanan 940 km terpaksa kami tempuhi bersama. Sebagai ibu bapa, keselamatan, keselesaan dan kepuasan hati anak-anak yang paling diutamakan. Kerana itulah, kami menggunakan tren sebagai pengangkutan kami ke Bangkok.
 
3 Disember 2015 (KHAMIS)
Subuh awal di Thailand iaitu pada pukul 5.02 pagi. Pukul 6 dah mulai cerah dan kebanyakan penumpang sudah mulai bangun pukul 7 pagi. Kami breakfast dengan roti Gardenia dan susu. Suami pun nampak dah sihat sikit berbanding semalam. Kami menerima makluman daripada attenden yang boleh berbahasa Melayu mengatakan tren delay lagi dua jam. Sekali lagi kami diuji dengan kesabaran masa. Keadaan dalam tren bukan sebagaimana tren berhawa dingin. Sangat panas dan tidak selesa. Muka anak-anak pun dah berkerak dan berminyak. Tak tau untuk kali keberapa kami membasuh muka mereka. Nasib baik juga kami bawa bersama wet tissue. Boleh juga lapkan sekali-sekala. Anak-anak langsung tidak meragam dalam tren di sepanjang perjalanan. Cuma ada la jarang-jarang diajukan soalan, “Ibu abah, bila nak sampai?” Itu je soalan yang ditanya selama 19 jam tempoh perjalanan. Masa diisi dengan permainan yang tak pernah kami main bersama anak-anak. Kami betul-betul menggunakan masa sebaiknya bersama anak-anak. Kalau sebelum ini kami pulang penat bekerja dan tidak mengendahkan mereka. Sekarang, kami boleh bermain Lap tali lap, O Som!, ABC dan mainan lain yang menggunakan tangan. Kelakar pulak rasanya sebab dah berpuluh tahun kami tinggalkan permainan kanak-kanak ni. 
 
Naura bersarapan dengan Bentagen dan biskut sambil memandang ke luar tingkap.
Untuk keberapa kali juga kami tak tau telah pergi ke tandas. Tentang kebersihan, sangat la tidak memuaskan. Tapi tren ni mempunyai sinki di luar tandas untuk menggosok gigi. Tong sampah hanya disediakan di tempat sinki sahaja. Kalau tren KTM plastik digantung di setiap tangga katil atas dan tiada sinki disediakan. Katil disimpan semula dan ditukar semula kepada kerusi pada pukul 9 pagi. Seperkara lagi boleh dipuji, tren adalah kawasan larangan merokok. Barulah kami perasan, setelah kami sampai ke Hatyai sehingga la kini, kami langsung tidak terbau asap rokok. Tanda larangan merokok banyak dipamerkan di kawasan tertutup dan di tempat orang ramai berkumpul termasuk la di kedai makan. Tren ni banyak berhenti di setiap stesen yang kami lupa untuk mencatat nama setiap kawasan. Setiap kali tren berhenti, pasti ada penjual akan naik untuk menjual makanan dan minuman. Mereka takde la sampai meminta simpati untuk penumpang membeli makanan yang dijual, mereka cuma lalu sambil mempromosikan makanannnya. Yang kami sempat dengar hanyalah ayat belakang. Kalau lelaki ada sebut khab atau khrab dan kalau perempuan di akhir ayat ada kha. Nada suara yang sangat lembut. Ada juga penjual bertanyakan kepada kami, “Abe make nasi doh ko ari ni?” Kalau ada yang bertanya dalam Bahasa melayu, boleh la makan. Ada juga yang menawarkan makanan percuma setelah melihat kami orang Malaysia. Setelah ramai penjual datang menjual, akhirnya kami kalah dengan penjual kerepek pisang. Pandai dia promote kerepeknya. Mula-mula suruh rasa. Lepas tu ulang-alik 2 3 kali depan kami. Tergoda jua akhirnya. Sedap pulak tu. Harganya 60 baht. Makanan dan minuman yang dijual oleh penjual di atas tren mahal sikit jika dibandingkan dengan harga sebenar di luar.

Abah berwefie dengan Nufail. Serabai sekali rambut anak teruna. Rambut abah steady je 😛
 
Kemeriahan di dalam tren adalah ketika penjual-penjual yang naik selepas melewati stesen. Kami juga disajikan dengan pemandangan negara Thailand. Kami mendapati, setiap rumah pasti ada rumah Tuhan. Kecil je tapi sangat cantik. Kami juga tidak pasti rumah apa, tapi bagi tanggapan kami, rumah Tuhan mereka kerana dicat dengan warna yang terang dan teguh biarpun tuan rumah tinggal dalam rumah yang sangat daif. Tidak kira kedai maupun rumah, mesti ada rumah Tuhan tersebut. Daripada kawasan kampung, akhirnya kami menyinggahi stesen yang makin besar dan telah menampakkan keadaan jalan yang makin sibuk. Hujan sekejap di waktu tengahari menjadikan kami kalut menutup tingkap. Tingkap sangat ketat untuk ditarik. Kerusi kami basah sedikit kerana lambat menutup tingkap. Panasnya waktu hujan tak payah nak cakap. Seolah-olah wap panas membahang naik. Hujan pun kejap je.
            
Dua kerusi mengadap satu sama lain. Muat untuk kami sekeluarga.
Pemandangan luar banyak disajikan dengan bendang yang menghijau. Tak pandang pun. Bosan sangat la tu…
Tepat pukul 2.30 petang kami sampai ke Stesen Hua Lamphong, Bangkok. Merupakan stesen tertua di Thailand. Kami selitkan sedikit sejarah stesen ni. Ia dibuka pada 25 Jun 1916 yang direka oleh Annibale Rigotti (1870-1968). Stesen ini mempunyai 14 platform, 26 kaunter tiket, menyediakan 130 pilihan keretapi dan menerima 60 000 penumpang setiap hari. Kami empat beranak antara ribuan penumpang berkenaan dan kami sekarang sedang bingung. Turun sahaja daripada tren, kami menuju sebagaimana orang lain tuju. Kami teruja melihat stesen ini yang mempunyai banyak rail dan train. Bangunannya sangat besar dan luas. Terdapat wap air di atas siling bagi menyamankan keadaan ruang stesen. Sempat kami berhenti di tengah-tengah perjalanan dan memandang ke belakang, tersangatlah luas. Itu baru separuh perjalanan dalam stesen. Kami singgah ke kaunter pertanyaan di dalam stesen dan bertanyakan di mana patut kami tukarkan tiket yang telah kami beli kelmarin. Kebetulan dia dapat cakap melayu, senang la kami berkomunikasi. Sebenarnya, tiket dapat ditukar jika untuk upgrade. Nak refund balik pun boleh. Tapi urusan perlu dibuat sejam sebelum bertolak. 
Tengok signboard pun dah tau kami dah sampai Bangkok!
 Bahagian dalam platform Stesen Hua Lamphong.
Kami ke kaunter tiket untuk membuat pertukaran. Terlalu banyak kaunter dan kami hanya tuju ke kaunter 1. Maklum balas kami terima sangat kecewa kerana tiket keretapi ekpres telah habis untuk katil bawah. Yang tinggal hanyalah katil atas. Mereka tidak membenarkan ibu bapa yang ada anak-anak berada di katil atas. Jadi, jurukaunter berkenaan mencadangkan kepada kami untuk datang sekali lagi sejam sebelum bertolak esok kerana dia akan simpan tiket kepada kami jika ada penumpang yang cancel perjalanan. Kami setuju dan berserah kepada Allah swt. Kalau tak dapat tukar tiket ekpres, maka sekali lagi kami akan menaiki tren tadi dengan tempat duduk nombor yang sama. Terasa sadis…

11 kaunter di bahagian kiri. Kami berada di kaunter pertama untuk pertukaran tren untuk esok. Beg putih tu bukan kami punya. 
 
Perut dah lapar, kami ke kafetaria dalam stesen. Bila masuk, kami ada sedikit was-was tentang status halalnya. Ini kerana keadaan kafetaria yang bercampur aduk dengan makanan tidak halal. Pelanggannya pula tidak menampakkan muslim. Kami keluar daripada kafetaria dan memandang keluar dan melihat ramai je orang Islam dalam stesen ni. Tapi tak nampak pun mereka sedang makan. Masing-masing duduk je di kerusi menunggu tren. Suami mula bertanyakan pada seorang pakcik yang kelihatan seorang tabligh di mana tempat makanan halal. Dia memberitahu dalam stesen ni terdapat keraguan dalam penyediaan makanan. Kalau mart tu boleh la sebab makanan di bungkus daripada kilang dan mempunyai tanda halal sah negara Thailand. Tapi takkan la kami nak makan roti dan biskut setelah hampir 20 jam tidak menjamah nasi. Tabligh tu menawarkan roti dan kerepek chips untuk kami untuk mengisi perut. Sempat la kami bersembang sekejap dengan lelaki yang berasal daripada Pattani dan bercakap dalam dialek Kelantan. Kami segan sebenarnya kerana telah makan bekal mereka anak beranak. Kami buat keputusan keluar daripada stesen.

Tabligh yang baik hati dengan memberi kerepek kepada anak-anak kami. Bergaduh pulak Naura dan Nufail berebut nak makan.
Kami tercari-cari di mana pintu sebenar sebagaimana kami telah lihat dalam google map. Macam tak sama je… Kami dah prepare awal-awal jarak perjalanan stesen Hua Lamphong ke Bangkok Centre Hotel hanyalah 230 m mengambil masa 3 minit sahaja. Tapi kami tak tau ke mana perlu dituju. Kami nampak kaunter pertanyaan di luar bangunan dan bertanyakan kepadanya di mana arah yang perlu kami tuju sambil menunjukkan peta yang kami telah print. Agak pelik bila bercakap dengannya kerana tanya lain, jawab lain. Kami tanya mana hotel berkenaan, dia cakap bajet berapa. Kami tanya pula arah hotel tu di mana, dia cakap sana takde hotel. Kami tunjuk map, dia cakap mana dapat map menipu ni, kami jawab google, dia cakap kena naik teksi. Last-last, kami pening. Kami beri laluan kepada pelancong dari negara Barat untuk bertanya. Sambil kami berbincang suami isteri, kami terdengar perbualan mereka. Macam kami tadi, berapa bajet? Jauh lagi. Kena naik teksi dan bla bla bla. Sama macam kami tadi. Orang putih tu minta dia alamatkan tempat dia nak tuju. Kami tengok dia tulis dalam tulisan Thai. Sah, bagi tanggapan kami, mereka dah kena auta. Kami batalkan niat untuk meneruskan pertanyaan dengan dia. 


Map ni la yang kami tunjukkan kepada yang berada di kaunter pertanyaan. 
 
Kami nampak satu laluan ke bawah tanah di sebelah kiri kaunter tersebut yang menunjukkan tren MRT (Metropolitan Rapid Transit). Lebih kurang dengan LRT Malaysia. Kami ke sana dan tengok map yang disediakan di board. Ada menunjukkan stesen perjalanan ke Bangkok Centre Hotel. Kami gamble turun ke bawah untuk bertanyakan pada kaunter tiket MRT. Untuk memasuki laluan bawah tanah, setiap orang kena scan macam dalam airport. Punya la security takut kami bawa bom. Beg pun kena cek. Walaupun kami dapat melepasi pintu, tapi perasaan  tidak selesa timbul bila kena periksa. Tiba di pertengahan jalan dan terus menuju ke kaunter untuk membeli tiket MRT ke hotel berkenaan. Rupanya, tak payah beli tiket sebab bawah tu ada banyak laluan exit. Kami masuk laluan 2, dan kami kena exit laluan 1 untuk ke hotel. Kami turut je apa yang dibertahu dan berjalan tak sampai seminit keluar ikut exit 1 dengan menaiki eskolator, dan kami nampak luarnya sama macam kami lihat dalam google map. Kami pandang belakang laluan MRT dan nampak Bangkok Centre Hotel di hadapan mata. Syukur alhamdulillah…. Allah swt permudahkan urusan kami setelah bersusah selama lebih 20 jam. Rasa nak cium tanah pun ada. Allah sahaja yang tau betapa gembiranya kami bila objektif nak sampai ke hotel akhirnya tercapai. Alhamdulillah…

Laluan MRT bawah tanah ini berada di perkarangan luar stesen.
Nasib baik terlihat papan lokasi map ni.
Keluar daripada Exit 1 kena pusing ke belakang baru nampak hotel. Kalau keluar melalui Exit 4 pun boleh. Lagi senang dan boleh terus nampak hotel ni. 

 

Entry yang cukup panjang untuk sampai ke Bangkok. Kami akan sambung lagi apabila kami sampai di pintu masuk Bangkok Centre Hotel nanti. Layanan yang kami terima jauh berbeza dengan apa yang kami telah lalui sebelum ini. Allah swt telah memberi kesenangan setelah apa yang telah kami hadapi. Betul la… Allah itu maha adil.
 
Di akhir catatan ini kami akan menyediakan videoklip Kembara Ke Bangkok.
 
Peringatan :
  • Buat research dulu keadaan atau tempat sebelum travel ke mana-mana supaya kita tidak lost.
  • Catat di dalam buku nota kecil sebab lebih senang untuk dirujuk. Ada orang lebih selesa save dalam note book atau handset je.
  • Tidak terburu-buru membuat keputusan. Bincang dengan pasangan dengan hati yang tenang.
Klik di sini untuk mengetahui sejarah pembinaan Stesen Keretapi Hua Lamphong Bangkok.

AMAZING THAILAND BEGINS WITH THE PEOPLE