1 Muharam 1439 (22 September 2017)

“… Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Di 1 Muharam ini, aku membaca sebuah buku travelog Ulu Yam di Liverpool 2. Seolah menggambarkan diri kami sekeluarga satu hari nanti. Walaupun tidak sehebat penulis berhijrah ke England, tapi terasa penceritaan mereka sangat dekat di hati.

Kami sekeluarga juga pernah melalui pengalaman berhijrah.  Penghijrahan ini hanyalah di dalam  negeri sahaja. Aku dan suami ditempatkan mengajar di Terengganu. Sedangkan rakan semaktab lain pulang berkhidmat di negeri masing-masing. Kami kira, tak apalah. Tak lama lagi baliklah kami di bumi Kelantan. Setahun kami sebagai guru, akhirnya kami dipindahkan ke sekolah kedua atas dasar keperluan mengisi kekosongan guru MPV (mata pelajaran vokasional)

Apa yang menyeronokkan pertukaran ini ialah jarak sekolah dengan rumah di kampung hanya 2 jam lebih sahaja. Berbanding dahulu, kami terpaksa memandu jauh hampir 5 jam. Kalau banyak berhenti, lagilah bertambah masa. Yang tak sukanya… Aku telah berpisah tempat tinggal dengan suami. Rumah kuarters yang baru sebulan kami duduki di Felda Kerteh 2 terpaksa kami lepaskan. Sebelum ini, kami telah menghabiskan beratus ringgit terhadap kuarters lama yang usang. Rumah lama memang banyak yang perlu dibaiki. Kami sudah siap cat, baiki elektrik dan renovate perpaipan. Biarlah. Bukan rezeki kami. Kira sedekah jelah kepada penghuni lain.

Ke mana sebenarnya kami dipindahkan? Suami aku ditukarkan dari Dungun ke Kerteh. Aku pula dari Rasau Kerteh ke Kuala Terengganu (sekarang ini sudah dinamakan sebagai Kuala Nerus) Kesian suami terpaksa ulang-alik 2 kali seminggu. Suami terpaksa bertolak seawal 4.30 pagi untuk tiba sebelum perhimpunan rasmi di sekolah.

Waktu itu aku mengandungkan anak sulung. Rumah kuarters di tingkat 3 yang aku duduki tidak selesa. Terpaksa berselipar di dalam rumah kerana lantai yang sangat kotor. Biarpun telah dimop hari-hari, namun, debunya masih melekat hitam di tapak kaki. Nak dipasangkan tikar getah, rasa tidak berbaloi. Duit sudah banyak berhabis di kuarters sebelum ini. Lagipun, pegawai JPN telah berjanji, hanya sekejap sahaja aku ditempatkan di sekolah ini kerana kesilapan mereka tidak melihat status perkahwinan kami sebelum dipindahkan.

Setelah beberapa bulan menunggu, jawapan pertukaran yang dijanjikan hambar… Pegawai itu mungkir janji. Dikatakan tiada kekosongan buat suami berpindah dan tinggal bersama aku. Dibukakan cerita mengenai ramai lagi suami isteri tetap sabar menunggu dengan pertukaran yang belum berjaya selama bertahun-tahun. Diceramahnya lagi aku tentang keindahan hidup berjauhan adalah perkara yang sangat manis.

Buat pertama kali dalam hidup aku, aku menjadi orang yang sangat degil. Mengekor pegawai itu ke mana sahaja di perkarangan JPN. Ke tandas, ke stor, ke pejabat, ke biliknya, semua aku turuti. Aku nekad untuk mendapatkan surat pertukaran hari ini juga! Tak kasihankah dia kepada aku yang sedang mengandung 6 bulan? Suami lagi sedang berjauhan? Aku yang tiada siapa-siapa di sini? Aku yang turun berat mendadak daripada 52kg ke 44kg! Aku mempunyai alahan yang sangat teruk. Tiada teman di sisi amat menyeksakan. Bila direnung balik, cukuplah…

Pegawai itu menyuruh kami pulang dan berjanji sekali lagi untuk mencuba menyelesaikan pertukaran ini. Tapi aku enggan. Aku langsung tidak berganjak. Suami sudah bangun pun aku tarikkan tangannya dan aku dudukkan kembali dia di kerusi. Demi anak yang bakal lahir ini, aku tetap berusaha. Akhirnya, pegawai itu mengalah jua. Dibukakannya laci dan mengeluarkan selembar kertas bersaiz kertas mahjong. Nah, pilihlah mana-mana sekolah yang kamu inginkan di daerah Kemaman ni. Alhamdulillah, rezeki anak!

Seminggu kemudian, aku berpindah ke Kerteh. Walaupun kami sudah mengundur jauh daripada negeri kelahiran, tapi biarlah. Demi keluarga baru. Asalkan kami dapat hidup sebumbung satu keluarga. Satu hari nanti kami akan pulang juga untuk berbakti di kampung.

Kehidupan kami amat bahagia di Kerteh. Namun, jiwa suami masih belum rasi sebagai seorang pendidik setelah 3 tahun bergelar guru. Mungkin kerana apa yang diajar di maktab tidak sebagaimana kami fikirkan. Jauh betul bezanya antara yang dipelajari dengan suasana realiti kerja. Sepatutnya kami ditempatkan di sekolah teknik dan vokasional. Akibat tiada kekosongan guru di sekolah berkenaan, kami ditempatkan di sekolah harian biasa. Pada awalnya kami protes juga di hati. Mana taknya, disuruhnya ajar Lukisan Seni, IT, BM, yang langsung tiada kena-mengena dengan opsyen kami. Dan kami tidak tahu pula kerja guru ni bukan sekadar mengajar sahaja. Tapi banyak kepada kerja penyediaan fail dan kerja-kerja perkeranian.

Suami mencuba nasib memohon bertukar jabatan di BPTV sebagai pegawai TEKNOPEN di PKG. Alhamdulillah, suami diterima dan sangat gembira. Tapi tidak bagiku. Aku baru melahirkan anak kedua. Suami banyak bekerja di luar kawasan. Waktu kerjanya sama dengan waktu pejabat. Tiada cuti sekolah sebagaimana guru. Kebetulan pula kami sambung belajar (PJJ) di UTTHO. Tetapi berpindah tempat pembelajaran ke UPSI kerana masalah ulang-alik. Sangat tertekan kerana aku mengalami fasa yang terlalu sibuk. Aku adalah guru, pelajar, isteri dan ibu.

Waktu suami berkursus, aku perlu menguruskan rumah tangga seorang diri. Menyiapkan 2 assignment serentak. Kerja-kerja di sekolah lagi. Waktu itu sangat susah. Tiada saudara-mara. Yang ada, aku dan anak-anak sahaja. Dua-dua sedang menyusu.

Disebabkan otak aku sentiasa berfikir dengan menyusun jadual harian, aku pernah terlupa menghantar anak-anak ke pengasuh dan membawa mereka ke sekolah. Tidak sedar bahawa anak-anak masih di kerusi belakang kereta. Ketika toleh untuk mengambil botol air barulah perasan mereka memandang aku dengan mata membulat…. Mungkin pelik melihat suasana di luar tidak sama sebagai mana waktu pagi yang lain. Allahu… Nasib baik tidak ditinggalkan anak-anak di dalam kereta.

Selama 6 tahun di Kerteh, kami berpindah sekali lagi ke Binjai Kemaman. Kali ni, makin jauh dari Kelantan dan menghampiri sempadan Pahang. Ini kerana kami telah membeli rumah teres di sebuah perumahan. Nak beli di Kerteh memang tidak mampu. Situ kawasan elit. Terpaksalah kami membeli jauh sedikit di kawasan kampung.

Aku memohon pertukaran sekolah buat kali keempat dan ditempatkan di SMK Banggol. Waktu ini kami di tahun akhir PJJ. Perpindahan kali ini merupakan kepayahan yang luar biasa. Sebelum ini kami dah berasa selesa dengan rutin harian di Kerteh. Tiba-tiba terpaksa bermula daripada zero. Peritnya Allah sahaja yang tahu. Sebagai guru baru, kawasan kejiranan yang baru, segala-galanya baru bagi kami. Suami pula makin terbeban dengan kerjanya yang semakin bertimbun akibat kekurangan staf di pejabat. Tugasan UPSI juga tidak pernah putus. Ya Allah… Dugaan yang tak mampu kami bendung. Engkau permudahkanlah urusan kami ini… Itulah doa yang sentiasa kami selitkan di dalam solat.

Alhamdulillah, dengan susah payah, kami berjaya menamatkan pengajian pendidikan peringkat ijazah selama 4 tahun. Tempoh pengajian yang seusia dengan Naura. Waktu konvokesyen kedua kami berdua amat meriah berbanding konvo pertama kami. Kali ini kami diraikan dengan kehadiran dua keluarga ibu bapa kami dan mempunyai anak-anak. Inilah kenangan yang sangat manis…

Suami sudah berpindah sebanyak 5 kali sepanjang perkhidmatannya. Mengajar di 2 buah sekolah dan 3 kali pertukaran di Pusat Kegiatan Guru (PKG). Suami terlebih dahulu berpindah randah berbanding aku. Aku banyak mengikut jejaknya. Tempat terbaik bagi seorang isteri adalah di sisi suami. Walau ke mana pun suami bertukar, akan aku ikut bersama.

Selama setahun kami tidak sesibuk seperti tahun sebelumnya, kami berasa janggal. Sebelum ini kami terpaksa berkejar dengan masa. Hantar tugasan, mengurus anak, kerja di sekolah, berulang alik ke UPSI dan Kuantan, balik kampung dan macam-macam perkara yang meributkan. Tiba-tiba menjadi tenang. Sangat tenang sehinggakan membosankan. Rutin yang sama, masalah yang sama, jalan yang sama, makanan pun sama. Memang semuanya dah cemuh.

Kami terfikir untuk membuat perancangan gila. Kami ingin berjalan ke luar negara. Tak jauh pun. Bangkok je. Pergi pun dengan tren. Bukan ada ongkos pun nak naik flight. Nak jimat punya pasal, kami terpaksa bermalam di atas tren selama 5 hari. Yang paling tak boleh tahan, kami tersalah beli tiket ekonomi kelas kedua. Bayangkan tren yang sangat daif. Kipas sahaja. Tiada aircond. Macam-macam pengalaman baru kami tempuhi selama 7 hari berkelana dari KL Sentral ke Bangkok. Sekali dah ada pengalaman, kami jadi tidak puas. Kami inginkan lagi perjalanan seperti ini. Sekali lagi kami buat persiapan untuk ke luar negara. Kali ini, ke Tokyo.

Belanja yang sangat besar untuk membawa kami bereempat ke sana. Kami menyediakan khidmat photobook untuk mendapatkan duit lebih. Sangat penat tapi berbaloi. Kerana duit berniaga itulah sedikit sebanyak membantu kami ke Jepun.

Pulang ke Malaysia, aku terpaksa bersedia untuk perpindahan tempat mengajar untuk kali kelima. Kali ini bukan sekolah, tapi kolej vokasional. Sengaja memohon untuk tukar jabatan kerana matlamat kami masih sama dengan 10 tahun lepas iaitu ingin pulang ke tempat kami membesar iaitu Kelantan. Kali ini, aim kami di Kota Bharu. Sebab itulah, aku gatal jari mengisi borang ke kolej. Tak sangka dapat. Biarpun aku dikatakan bodoh oleh beberapa orang guru sebelum ini kerana sengaja cari penyakit masuk mengajar ke institusi yang belum tetap sistem pembelajarannya. Tak kurang dengan orang yang mengatakan aku ni guru biasa yang tidak layak mengajar di kolej vokasional kerana aku daripada sekolah harian biasa. Sedangkan terang bersuluh aku mempunyai diploma pendidikan Binaan Bangunan. Cuma aku tidak mempunyai pengalaman mengajar sahaja.

Biasalah. Manusia yang suka menghina dan memperlekeh orang memang wujud. Aku dah lalui 4 buah sekolah sebelum ini. Takkan lah sekolah ke 5 ini tak ada karektor sebegini kan. Kadang-kala aku kesian pada orang begini. Lagak bicara tinggi melangit. Pengalaman hanya sejengkal. Suka membandingkan kerja dulu dan kini. Sentiasa berfikir dia sentiasa perfect. Sekali Allah bagi sedikit ujian, mulalah bising. Padahal hal kecil je. Bagi aku la… Kita semua dalam tempoh belajar. Pengalaman lepas telah dijadikan teladan. Bukan menjadi penunjuk aras kejayaan seseorang pun. Cuba bersabar. Impak belum nampak, tapi dah macam-macam taklukan masa depan telah dikata oleh sesetengah orang.

Sebab itulah kawan. Kita perlu berhijrah. Lihat dunia. Dunia kau sangat kecil. Berkisar hal yang sama sahaja. Kami dah lalui banyak sekolah. Pelbagai ragam. Belajar dan hidup berPJJ sudaj dirasai. Hidup hanya berempat tanpa keluarga di sisi. Susah senang dirasai bersama. Alhamdulillah, pengalaman yang sangat berharga. Walau pun mempunyai harta setinggi gunung, tidak mampu membayar pengalaman yang telah kami lalui ini. Kerana ianya terlalu mahal.

Sekarang kami sudah mulai takut. Hidup semakin selesa. Kami sudah melampaui zon perit jerih. Kami sudah ada segalanya kecuali pulang semula ke kampung. Kami tidak lupa. Kami sedang berusaha. Matlamat masih sama. Plan sahaja yang berbeza.

Kami dah ralat hidup selesa. Selesa ni boleh membunuh. Kadangkala kami sengaja mencipta aktiviti mencabar diri. Aktiviti baru kami adalah mendaki bukit. Sengaja sibukkan diri dengan pelbagai perkara yang melibatkan ukuwah kekeluargaan. Hujung tahun masih sama iaitu mengembara ke luar negara. Itulah satu-satunya cara untuk kami berada di luar zon selesa.

Kami juga tidak tahu masa depan kami bagaimana. Perasan atau tidak, kami memang tidak boleh hidup terlalu tenang. Huhu… Mungkin satu hari nanti kami buat perkara yang lebih gila seperti cuti tanpa gaji 5 tahun atau berhenti kerja kerana bosan dengan rutin harian. Tak mustahil kan. Hehe… Sebab sudah biasa dengan cabaran.

Sempena Maal Hijrah ini, kami berazam agar kami sekeluarga akan sentiasa membuat penghijrahan dalam diri ini. Semoga sentiasa maju ke hadapan dengan pelbagai pengalaman baru. Biarlah kami berubah titik hidup yang sama ini kepada lebih daripada apa yang kami miliki kini. Apa yang penting, jadikanlah kami orang yang kuat. Permudahkan segala urusan kami agar dapat mencapai impian. Amin.

Sebenarnya, kita semua pernah melalui penghijrahan. Bukan hanya berpindah-randah sahaja yang dipanggil sebagai hijrah. Hijrah bermaksud berpindah, bertukar, beralih dari satu perkara lama kepada yang baru. Pemikiran baru, kehidupan baru dan pelbagai lagi yang baru dilakukan adalah satu penghijrahan. Berhijrahlah. Kerana anda pasti akan menemui perkara yang tidak disangka dalam hidup ini. Sampai bila kita hendak berada di kehidupan yang selesa yang telah dicapai kini? Ingat, selesa itu membawa padah. Terimalah cabaran hidup ini agar kita tidak terlalu mudah mengalah untuk menghadapi masalah di masa hadapan.

hasil nukilan : Nhazla Fikri