Tenangnya di Jeram Tanduk Kemaman

Tak perasan rupa-rupanya yang tengah-tengah minggu bekerja ni ada cuti umum. Kami takde plan apa-apa pun cuti Hari Wesak ni. Suami kata nak keluar hilangkan tekanan kerja. Dah lama tak merasa celup kaki dalam air sejuk. Tapi bila tanya nak ke mana, tak pasti… Susah…

Esok pagi bangun bersiap di dapur. Bukan untuk makan pagi. Tapi sebagai bekal makan di tempat perkelahan nanti. Ke mana? Belum decide lagi. Haha…

Masing-masing kemaskan barang seperti baju mandi dan peralatan lain untuk dibawa bersama. Kami bertolak pukul 8 pagi dan bersarapan di kawasan Binjai sahaja. Di kedai makan itulah kami buat keputusan untuk ke Jeram Tanduk. Dulu sampai di pekan Ayer Putih sahaja. Tapi tidak kesampaian memandangkan jalan tidak bertar. Hari ni nekad akan redah juga walaupun off road sepanjang 10 km.

Jalan off road

Daripada Binjai ke Ayer Putih tidak jauh pun. Lebih kurang 25 km sahaja. Hendak masuk ke jeram tula yang leceh kerana jalan berbatu sahaja. Takpe. Kami tetap redah walaupun terhengguk-hengguk dengan keadaan jalan. Kadar kelajuan hanyalah 15km/jam. Go Citra go!

Kami berhenti di kilometer 3 apabila mula ragu-ragu dengan jalan semakin tidak rata. Risau dengan batu yang tinggi di tengah jalan, kami membenarkan dua buah kereta untuk jalan dahulu. Kereta 4×4 pasti lepas. Kereta Kancil dengan tanpa redah terus meluncur laju. Alahai… Bukan tinggi pun batu tu. Bukan apa, pernah mengalami peristiwa kereta terpaksa diangkat 4 lelaki sado akibat batu terlekat di tengah kereta. Hehe..

Sepanjang jalan tidak bertembung dengan kenderaan daripada arah bertentangan. Kali ni terlihat motosikal berhenti di tengah jalan seolah menunggu sesuatu. Kereta kami perlahan je. Bila perhatikan lelaki bermotor tu barulah kami perasaan. Ular senduk lebih kurang 3 kaki panjang sedang melintas. Lelaki tu diam dan tidak berganjak memberi laluan kepada ular tersebut. Tergamam kami. Sehinggakan shutter kamera pun lupa untuk tekan.

Laluan masuk penuh semak samun.

Sampai sudah kami di Jeram Tanduk. Di kawasan parking sudah tersedia dengan 2 buah kereta yang melalui kami sebentar tadi. Kami adalah pengunjung ke tiga. Risau juga. Sekejap sahaja perasaan tersebut. Apabila masuk ke dalam dan kami mendapati tempat ini sangat cantik! Hanya kami sahaja di jeram tersebut. Pengunjung kereta Kancil dan 4×4 berkemungkinan mandi di tingkat atas.

Kereta 4×4 sangat sesuai masuk ke tempat sebegini. 

Seronok sungguh. Seolah jeram ini milik kami sekeluarga sahaja. Pada awal masuk off road tadi, anak-anak gelabah juga. Siap bagitahu ada perasaan lain macam lagi. Bila dah terjun dalam air, semua dah lupa. Gembira bukan kepalang boleh bermain tanpa manusia lain berada di sekeliling.

 Jambatan menghubungkan ke jeram
 Membesar sihat semut di dalam hutan
Kami perlu mendaki untuk ke jeram 

Kami mandi, menikmati alam,berspa kaki dengan ikan kecil, menguji telefon bimbil dicelup di dalam air, makan bekal, bagi makan ikan dan mengambil gambar. Seronok kerana tiada gangguan. Kami tidak perlu berkongsi dengan sesiapa.

Kami sempat berpesan kepada anak-anak tidak membuang sampah merata-rata. Sayanglah dengan alam hutan yang masih terjaga. Namun, ada juga manusia yang tidak bertanggungjawab telah meninggalkan sampah dan tidak dibawa pulang. Bagi pendapat kami, pengunjung mungkin membungkus sampah. Tetapi dibiarkan di situ dan mengharapkan pekerja datang membersih. Mana ada penjaga wahai rakyat jelata. Pandai bawa ke jeram, pandai-pandailah bawa pulang semula. Sayang kerana sampah sudah bersepah…

Pengunjung mungkin sudah mengikat sampah di dalam plastik. Tetapi tidak dibawa turun. Kemungkinan haiwan hutan telah membuat sepah. Haiwan memang takde akal. Dah manusia…? 
Tersalah hiking sehingga ke aras yang tidak mampu lagi naik. Terpaksa turun semula. 

Satu lagi kami pesan kepada anak-anak, tolong jangan bermain di lopak air yang bertakung di batu. Lopak air tu tidak mengalir dan hanya bertakung sahaja. Kemungkinan menjadi tempat haiwan minum air atau membersih diri. Kami risau akan air kencing tikus yang boleh membawa maut. Minta simpang la…

Perlu berjaga-jaga dengan lopak air. 

Berbalik kepada keindahan jeram ini, memang tidak dinafikan. Tidak ramai pengunjung yang bertandang. Sehingga ke waktu petang, tidak sampai pun 10 buah kenderaan yang masuk mandi-manda di sini. Jika anda ingin merasa tenang dan jauh daripada kesibukan rutin seharian, datanglah ke Jeram Tanduk. Dekat sahaja dari Pekan Binjai. Lebih kurang 35 km sahaja. Jalan off road tu sekejap sahaja. Sempat anda menikmati suasana sepanjang memandu masuk ke kawasan jeram. Anda pasti tidak akan bosan!

Gambar-gambar yang sempat ditangkap apabila berada di sana. Gajet yang digunakan adalah Hp Sony Experia XZ dan Mirrorless Olympus Om-d e-M10 Mark II

  Mirrorless Olympus.

 Kelebihan menggunakan Hp Sony Experia XZ. Dapat dimasukkan ke dalam air.
Jelas kelihatan walaupun menggunakan Hp. 

Leave a Reply