Baru bekerja 2 minggu selepas 3 bulan PKP. Minda dan badan terasa sangat stress. Dah usha beberapa kali tempat percutian. Cameron Highlands jauh. Genting tempat perabih duit. Pulau sangat panas. Aku suka sejuk dan nyaman. Berpeluh hamis tak berapa berkenan sebab tempat aku tinggal ni puah cemuh dah dengan bermandi peluh.

Kawan aku ada tunjuk kat Whatsapp Story tentang penginapannya bersama 8 ahli keluarga di satu chalet. Terus PM tanya kat mana dan dapatkan nombor telefon untuk tempahan. Takyah sembang banyak. Suami aku call dan book satu chalet di Sekayu untuk 3 hari 2 malam bagi aku lima beranak.

Aku pernah ke bawa pelajar camping di Sekayu ni pada tahun 2009 tak silap aku. Waktu tu aku dah beranak satu yang belum mencecah usia 12 bulan. Disebabkan masih menyusu badan, aku bawa umi bersama dan minta tolong jagakan di waktu aku perlu bertugas. Suami aku ada hal ketika tu. Chalet yang hanya menyediakan 2 katil single. Tu cerita hampir 10 tahun lepas. Meh baca kisah terkini Penginapan di Hutan Lipur Sekayu bagi tahun 2020.


KEDUDUKAN SEKAYU RESORT

1) Jika anda dari Utara Semenanjung

Boleh masuk melalui Kelantan dan tiada highway di negeri pantai Timur ini sehingga ke Hutan Lipur Sekayu.

2) Jika anda dari Utara Semenanjung

Banyak pilihan jalan boleh dilalui samada jalan lama atau highway berbayar di LPT 2.

Rancang sebaik perjalanan anda kerana tidak mahu tiba lewat di tempat penginapan. Kawasan sini agak sunyi dan jauh ke pedalaman. Boleh cuba rujuk Google Maps.

Terletak di daerah Hulu Terengganu.

PENGINAPAN

Sesiapa yang jauh sehingga melebihi 2 marhalah dah boleh solat jamak. Memang best kalau dapat menginap dan beraktiviti selama yang mungkin. Ada 2 pilihan bagi sesiapa yang berminat nak bermalam di sini.

  1. Chalet – RM80
  2. Berkhemah – Tak pasti harga.

NOMBOR UNTUK DIHUBUNGI : 096811236 // Call semasa tempoh jam bekerja. Banyak kali jugak dihubungi baru dapat buat tempahan. Mungkin kami call tu penjaga tak ada disebabkan ada urusan.


Chalet tu agak besar bagi kami berlima. Jadi, jangan risau bagi yang mempunyai ahli keluarga yang ramai. Kalau datang sampai 4 buah keluarga pun boleh la tempah chalet yang banyak bilik.

Bagi yang suka back to nature, camp site amat sesuai bagi anda. Tempat memasak dan tapak disediakan elok di kawasan tersebut. Bilik mandi pun ada. Jangan risau akan kebersihan. Cleaner sentiasa bersihkan dan memastikan keadaannya kekal terjaga.

BAYARAN MASUK

Disebabkan Resort Sekayu ni di bawah jagaan Jabatan Perhutanan, maka bayaran dikenakan kepada setiap pengunjung. Elok la ada yang jaga. Bersih dan cantik je tempatnya.

  • Dewasa – RM2 / seorang
  • Kanak-kanak – RM1 / seorang
  • Sewa troli – RM3 / setroli

Hutan Lipur Sekayu ni tak jauh dari rumah aku yang berada di Kemaman. Jauhnya ke Kuala Berang ni lebih kurang 2 jam perjalanan. Itupun kalau takde nak berhenti kat mana-mana. Kalau ada hal nak makan atau ke bilik air atau apa-apa urusan, masa akan bertambah lagi. Jadi, masa itu fleksibel. Sebagai rujukan, elok la rujuk Google Maps untuk dapatkan masa dan jarak yang tepat dari rumah anda.

Aku mula menginap pada hari Khamis. Waktu tu dah tiba agak lewat memandangkan kami di sepanjang hari Khamis masih lagi bekerja. Kami tiba pukul 5.30 petang. Pekerja masih ada dan memberikan kunci bilik dan membenarkan kereta pandu ke dalam. Oh, nak masuk tempat penginapan ni perlu melalui satu pintu pagar sahaja. Sekeliling kawasan hutan ini dipelihara oleh Jabatan Perhilitan. Kawasan Nampak bersih dan terjaga.

Bilik kami takde la besar sangat. Selesa buat kami sekeluarga. Ada satu katil bersaiz queen dan satu katil single. Toto dah bawa siap-siap sebab dah tahu pasti salah seorang daripada Naura dan Nufail akan tidur di lantai. Bergilir la mereka untuk 2 malam. Yang pasti, abah, ibu dan Niqrisa wajib tidur atas katil. Kah!

Chalet ini menyediakan satu ruang memasak. Ni la part paling aku suka. Masak sendiri dalam hutan. Kalau kat luar ada tempat membakar. Aku tak guna pun. Sebab tak beli lauk daging. TV tak ada tau. Kena pastikan masa di sini terisi dengan macam-macam aktiviti. Handphone tu pun sekadar buat amik gambar jela. Bukan ada line internet pun nak main. Jadi, masa kami di Sekayu dipenuhi sepenuhnya bersama ahli keluarga.

Selama 3 hari 2 malam di dalam Hutan Lipur Sekayu ini amat menenangkan. Kena pulak berendam lama dalam air yang sejuk. Didendangkan dengan bunyi semulajadi hutan menjadikan tekanan yang ada di kepala hilang mengalir bersama air sungai. Kami betul-betul dapat menjalinkan hubungan bersama keluarga. Takde nak tengok notification dalam phone, tak perlu nak dengar berita dalam TV atau sibuk mengurus rutin sebagaimana di rumah.

Orang tak berapa ramai pun. Tak pasti sama ada orang ramai masih takut-takut nak bercuti akibat wabak Covid-19 atau belum tahu yang banyak dah tempat percutian telah dibuka. Aku perasan yang cleaner lebih ramai daripada pengunjung. Haha

Kami sekeluarga ni suka sangat rakam kenangan di sesuatu tempat. Rugi la simpan je kan. Edit buat video upload di youtube la sebagai panduan orang lain. Jangan lupa SUBSCRIBE ya.

VLOG ke Hutan Lipur Sekayu Hulu Terengganu