Mahu pindah luar negara? Baca pengalaman ini dulu
Sejak dari kecil lagi kita dipertontonkan dengan keindahan luar negara. Cantiknya pemandangan empat musim, majunya peradaban negara mereka, ramah tamah pelaku rakyatnya, pendidikan yang baik, taraf hidup yang tinggi dan segala macam lagi diperdengarkan.
Maka, ramailah di antara kita yang mencuba nasib memohon dari pelbagai cara untuk tinggal di luar negara biarpun sekejap. Kata orang, duduk sebulan pun jadilah.
Tapi, tahukah anda, ada pelbagai dugaan yang bakal menimpa kita? Aku taktau juga sehinggalah aku mula tinggal di Istanbul ini. Secara jujurnya, ini adalah pengalaman aku sekeluarga dan tidak ada kaitan langsung dengan orang lain. Mungkin mereka dipermudahkan dalam segala hal.
Tak ada langsung ingin menakut-nakutkan anda. Hanya sebagai perkongsian pengalaman dan membolehkan anda membuat keputusan semasak-masaknya.
Bismillah….
1. Cuaca
Seronok melihat orang bergaya mengambil gambar di pelbagai musim semasa berada di luar negara. Nak nak lagi negara empat musim. Orang Malaysia paling teruja dengan salji. Ya, termasuklah aku sekeluarga. Tahukah anda, salji sedap dipandang, tapi tidak seronok dipegang? Kalau setakat main sekejap tu memang boleh buat kita kembali kepada zaman kanak-kanak balik.
Tapi, bila dah hadap tiga bulan musim sejuk berterusan, perasaan teruja tu dah hilang. Terasa tak sanggup dah nak hadap suhu dingin yang kadang-kala mencecah bawah 0°C
Kita perlu memakai pakaian yang bersesuaian. Diakui, pakaian musim sejuk sangatlah mahal. Itu belum lagi masuk dengan bil elektrik dan gas yang melambung kerana pemanas perlu dipasang semasa suhu terlalu dingin. Lebih-lebih lagi jika ada anak yang kecil. Kesian kepada mereka.
2. Budaya
Setiap negara mempunyai budayanya yang tersendiri. Agak sukar nak menerima pada awal ketibaan. Sememangnya kita tidak boleh mengubah mereka, kitalah yang perlu mengadaptasi dalam diri.
Aku amik contoh satu jela. Di negara kita, rokok kebiasaannya dimonopoli oleh kaum adam. Jarang kita dengar perempuan merokok atau kalau betul ada pun, kaum hawa ni kita masih ada sifat malu dan merokok secara sembunyi-sembunyi.
Tapi, di Istanbul ini, rokok itu bukan simbol kepada lelaki. Tidak kira jantina, umur, bertudung atau berkopiah, sesiapa pun boleh merokok.
Mulanya aku agak kaku melihat situasi ini. Tapi, kita perlulah menerima ini adalah budaya mereka. Banyak lagi. Contohnya berlainan mazhab, tingkah laku dan lain-lain. Cukup satu.
3. Rutin
Ini sudah semestinya. Kalau dulu kita seorang yang berkerjaya, kita mempunyai rutin keluar pagi balik petang. Menghantar dan mengambil anak, menghadiri kursus atau apa-apa yang kebiasaan rutin.
Tapi, bila anda telah berpindah keluar negara, lebih-lebih lagi anda tidak lagi bekerja, semuanya berubah. Sekiranya anda sudah bekerja selama berbelas-belas tahun, hal ini mungkin memberi impak yang lebih besar.
Tidak mudah kita yang pernah bekerja ini ingin meminta kerja di negara orang. Banyak kekangannya. Antara faktor yang perlu diambil kira adalah umur, kelayakan dan kemahiran. Biarpun anda berpengalaman meluas sekalipun, sekali anda menjejakkan kaki di negara orang, anda perlu bermula daripada kosong.
4. Kemudahan
Bukan semua negara menyediakan kemudahan yang anda impikan. Jika anda bukan tajaan atau dihantar oleh mana-mana majikan, anda perlu buat sendiri segalanya.
Daripada mencari rumah, melanggan bil, mendapatkan barangan keperluan dan lain-lain.
Dulu kita ada kereta, boleh pecut ke kedai. Sini ada teksi, tapi ramai penipu. Barang dibeli perlu dilimitkan kerana tidak mungkin mampu dibawa naik kenderaan awam seperti bas dan keretapi.
Nak beli kenderaan, banyak juga faktor perlu diambil kira. Bukan mudah-mudah seperti di Malaysia. Anda dikehendaki mengambil lesen lain kerana lesen kenderaan kita di Malaysia tidak terpakai dah di negara orang.
Itu baru bab nak bergerak ke mana-mana. Belum campur lagi persekolahan anak, atau berkomunikasi.
5. Bahasa
Jika anda berada di negara menggunakan Bahasa Inggeris, anda sangat bertuah sebenarnya. Biarpun anda Bahasa Inggeris anda tidak lancar, sekurang-kurangnya masih boleh difahami. Kita ni sangat bertuah kerana Malaysiamenerapkan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian kita selama 11 tahun bersekolah dan tidak terhenti sehinggalah umur kita sekarang ini.
Walaupun kita tidak praktis berkomunikasi dengan orang lain, sebenarnya kita boleh bila didesak berada di dalam keadaan sukar di negara orang.
Tapi, bila berada di negara yang menggunakan bahasa sendiri dan rakyatnya pula tidak boleh bercakap Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, memang akan ada masalah.
Potensi untuk ditipu oleh rakyat tempatan sangatlah tinggi.
Bukan semua, tapi kebanyakan. Lebih-lebih lagi orang berniaga. Nak masuk rumah pun perlu bayar satu jumlah harga yang tidak masuk akal. Kontrak dalam bahasa tempatan yang memaksa kita hanya mengiyakan sahaja.
Jika betul anda memilih negara yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris, sila belajar dulu bahasa mereka supaya mudah berkomunikasi.
6. Kerinduan
Inilah kemuncak persediaan mental yang perlu anda harungi. Tidak ada makanan tempatan seperti nasi lemak, tiada saudara mara dan sahabat untuk berbicara serta bergelak ketawa.
Anda nampak orang pakai baju corak sama yang biasa tengok di Malaysia pun boleh membuatkan anda rindu melampau.
Walaupun kemudahan internet seperti panggilan video mendekatkan dengan orang tersayang, namun tidak dapat menyamai berada depan-depan.
Entri ini bukan menakut-nakutkan atau memberi gambaran buruk apabila berada di luar negara. Tapi, sekurang-kurangnya anda membaca juga tentang sudut tidak seronok apabila tinggal berjauhan di negara sendiri.
Betullah pepatah orang mengatakan, “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri. Maksud: Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.
Pun begitu, jika diberi peluang berada di negara orang, pergilah. Keluarlah daripada zon keselesaan yang telah kita bina selama ini. Banyak hikmah yang diperolehi. Nanti aku akan bincangkan di entri lain pula.
Maafkan penulisan aku jika ada yang tidak setuju. Hanya pada pandangan aku sahaja. Yang baik itu adalah daripada Allah swt, dan yang buruk itu adalah daripada aku sendiri.
Wallahualam.
- Naik feri ke Tak Bai – Thailand
- Feeling emotional
- Rumah pertama keluarga kecil kami
- Aku umpama nomad, berpindah-randah
- Bila dah tetapkan, jangan ada PENYESALAN