TIPS
Sewa kereta di Istanbul – Pengalaman dan Tips

Sewa kereta di Istanbul – Pengalaman dan Tips

Tinggal di Istanbul tidak bermakna mood berjalan-jalan setiap hari. Hari kami di sana sama macam rutin kami di Malaysia. Bangun pagi sediakan sarapan, mengajar anak, sental lantai bilik air, kemas rumah dan keluar membeli barang dapur.

Hari-hari duk ulang perkara sama bosan juga. Celik je, badan dah tau nak buat apa. Jadi, untuk dapat semangat baru, kami rancang untuk keluar travel. Sebab nak refresh. Eh, dah tinggal dalam Turki nak keluar travel mana lagi?

Tahukah anda, Turki sebuah negara besar yang mempunyai 81 buah negeri. Nak ke sesebuah tempat mengambil masa berjam-jam. Kami takmau naik pengangkutan awam disebabkan leceh perjalanan yang lama dengan anak-anak dan barang dibawa pun banyak.


** Hal yang kami ceritakan ini tidak bermaksud ingin menuding jari kepada sesiapa. Kami anggap ini satu pengalaman untuk dijadikan pengajaran buat diri sendiri dan rujukan kepada  pembaca bagi menimbang-tara keputusan yang sewajarnya di masa hadapan,


Kami ni lima orang sekeluarga. Ada 5 karenah dan masing-masing dengan 5 buah beg. Sewa kereta adalah pilihan yang paling tepat memandangkan kami berlima bersesuaian dengan kereta berkapasiti 5 penumpang.

Sewa kereta buat road trip round Turki – [Istanbul – Ankara] #ep1

Mulanya kami ingin sewa dengan seorang Mamat Arab ni yang diperkenalkan oleh kawan Mehmet. Kiranya kawan atas kawan. Mehmet merupakan warganegara Malaysia yang dah lama tinggal di Istanbul. Mungkin ada yang pembaca telah mengenalinya. Mehmet merupakan speaker ML Studio. Carilah sendiri.

Mulanya Mamat Arab ni bernama Omar. Mulanya baik la. You are my brother. Everything okey. InsyaAllah. Hope you will enjoy your journey. Yada, yada, yada. Semua ni perbualan dalam Whatsapp.

Tiba hari kejadian nak ambil kereta, Omar belum sampai buka kedai lagi. Janji pukul 10 pagi, hampir sejam kemudian baru sampai. Janji Arab betul… Bukan itu je masalahnya, ada rantaian lagi. Omar tak bagi keluar daripada negeri Istanbul. Katanya, bahaya. Jalan banyak rosak. Kalau jadi apa-apa, siapa nak bertanggungjawab? Pemanduan jauh boleh membahayakan pemandu. Kena bayar deposit 2 kali ganda sebab risiko terlalu tinggi dan perlu menambah duit untuk bayar insuran tambahan.

Ko rasa?

Dah elok deal, sampai je jadi lain. Belum tamat situ. Setelah kami berbincang, kami putuskan taknak teruskan sewa kereta dengan Omar. Omar pun ubah cara dengan turunkan balik harga deposit tu. Sikit je. Katanya lagi, takpe la. Kita bersaudara…

Wooo… Kami dah boleh hidu bau hancing. Penunggang agama ni seorang yang biasa menipu. Risiko wajib ada bila mana melibatkan perkhidmatan sewa kereta. Apa-apa perniagaan pun. Dan, kata-katanya tidak tetap. Sekejap macam ni, 10 minit kemudian ubah lagi.

Walaupun kecewa, kami sepakat tidak mahu sewa kereta dengan Omar. Sebelum berlalu, sempat lagi si Omar ni tawarkan harga rendah sekupang daripada harga asal. Maaf la Omar. Orang lain mungkin dapat kencing. Kami dah tau.

Sedih sangat tengok barang-barang dah disediakan dari malam lagi. Terlonggok dekat tepi dinding. Makanan pun sama. Patutnya waktu tengahari tu kami berangkat. Anak-anak tak faham. Duk tanya berulang kali kenapa tak jadi.

Makanan pun dah ready. Sayu jugak la tengok semua persediaan ketika itu

Yang bagusnya, suami aku berusaha jugak mencari perkhidmatan sewa kereta yang lain. Cari dalam website, terjumpa la DAB Rental Car. Website ni tengok macam elok. Komen penyewa dalam group BBM boleh kata semua okey.

Booking sewaan kereta ini dibuat melalui Whatsapp. Webstite hanyalah tempat rujukan pemilihan sewaan kereta. Tak perlu nak chat heret sampai berjam-jam macam Omar. DAB Rental Car ini lebih professional.

Keesokkannya, sekali lagi suami pergi untuk dapatkan kereta. Kedai buka tepat pada masanya, takde cakap banyak dan bayaran sebagaimana dalam website.

Dapat la kami menyewa sebuah kereta Fiat Fiorino putih dengan isian diesel. Bersorak gembira la kami dapat meneruskan percutian. Biarpun lewat sehari daripada yang dirancang. Dapat juga mencipta kenangan ronda di beberapa buah negeri di Turki.

Namun, tidak seindah yang disangka. Kisah kereta tidak terhenti di situ. Ada yang sedia maklum tayar kereta kami pecah semasa menuju ke Cappadocia.

Tonton di sini >>> KERETA PROBLEM DI CAPPADOCIA

Tersadai kereta kami di tepi jalan. Suhu waktu tu -5ᵒC. Dan ketika itu juga hari sudah pun gelap. Kereta tak banyak yang lalu-lalang. Tergamam kami taktau nak buat apa. Buntu. Tak terlintas nak hubungi sesiapa. Kenalan kami semua di Istanbul yang berada jauh 770 km dari Cappadocia. Ketika itu dah malam…

Tiba-tiba datang sebuah trak berhenti di sebelah kereta kami. Perkenalkan, Mustafa. Dipendekkan cerita, dia merupakan hamba Allah yang sangat tepat mendatangi kami ketika itu. Kerana dia pemilik sebuah kedai tayar. Bukankah itu pertolongan daripada orang yang betul?

Dipendekkan cerita, kereta yang kami sewa tidak mempunyai tools. Manakala tayar spare ada tapi tidak pernah maintenance, dan wakil DAB Rental Car tidak membantu kami. Mustafa bengang dengan situasi yang berlaku dan bantu memarahi wakil berkenaan. Walaupun tak faham, jelas riak mukanya tidak puas hati.

Tayar dah pecah. Kami keluarkan beg-beg untuk mengeluarkan tayar ganti

Mustafa ambil tools daripada bengkelnya dan menukar tayar dengan hanya sebentar cuma. Aku pun tak sangka sekejap itu. Mungkin dah pro. Upahnya hanya 150 TL.

Sejak malam itu, tiada masalah kereta yang berlaku sepanjang perjalanan dari Cappadocia sehingga ke Istanbul semula. Yang dah dijangka semasa hantar kereta. Pihak sewaan kereta seolah tidak mahu bertanggung jawab dengan apa yang berlaku. Menyalahkan kami telah mencalarkan rim tayar dan kononnya tidak akan menolak wang deposit.

“Ini tolak-ansur yang boleh kami berikan.”

TIPS MENYEWA KERETA DI ISTANBUL

  1. Pastikan lesen kereta Malaysia/Antarabangsa masih dalam tempoh.
  2. Buat research berkenaan dengan company rental car di Google search atau rakan.
  3. Baca komen atau review customer.
  4. Sebelum menerima, sila ambil gambar atau video keseluruhan keadaan kereta supaya tidak timbul isu berbangkit semasa penghantaran.
  5. Sila pastikan kondisi dalam keadaan baik ; tools box, tayar gantian, manual penggunaan dan cara pembaikian dimaklumkan.
  6. Pastikan pembayaran sewa dan deposit dah termasuk dengan insuran kereta. Jika pihak rental car minta lebih bayaran akibat yang tidak munasabah, seperti cover lebih insuran, TAK PERLU. Insurans tu adalah sampah.
  7. Simpan nombor used car untuk kecemasan.
  8. Buat Plan B! Anda sahaja yang tahu plan B tu bagaimana.

Walaupun pengalaman sewa kereta ini unik, tapi tidak bermaksud kami tidak gembira. Memang betul ketika itu kami berasa kelat. Siapa tak marah dipermainkan dan kena macam-macam. Bila hal tu dah berlalu, kenangan pahit menjadi manis. Kami tak rasa perit pun. Waktu menaip ni pun aku tersengeh macam kerang busuk. Kelakar bila ingat kejadian yang tidak disangka itulah yang kami menjadikan rindu. Teruja nak travel lagi.

Dah dapat view macam ni, tak mungkin kami rasa menyesal. Kami pilih untuk keluar merantau daripada terperuk dalam rumah

Kejadian ikut perancangan ni memang bagus. Duit tak membazir, masa tak terbuang, segalanya nampak indah. Bagi aku la, membosankan. Hidup ni memang datang pelbagai perasaan. Tak semestinya marah, sedih dan kecewa tu suatu perkara yang perlu dielak. Tempuhi dengan ditangani agar perjalanan selepas ini lebih baik.

Tak ada aku boleh katakan lagi. Aku akan suruh suami ceritakan dalam bentuk video. Mungkin lebih detail pengalaman tu. Bila dah upload, aku akan update di sini. InsyaAllah.

Leave a Reply