TALK
Pengalaman homeschooling anak di luar negara

Pengalaman homeschooling anak di luar negara

Agak banyak soalan yang diajukan kepada aku mengenai persekolahan anak-anak semasa tinggal di Turki. Mulanya aku nak hantar anak-anak ke sekolah awam di Istanbul. Disebabkan peningkatan covid-19 yang meningkat dan ketika itu juga sekolah dan institusi pendidikan lain tutup sementara.

Kami pun tidak lama di sana. Hanya 6 bulan sahaja. Untuk bersekolah di Turki, ibu bapa perlu mempunyai ikamet (kad sah tinggal) Tempoh untuk mendapatkan ikamet sangat lama di Istanbul dan kami buat keputusan untuk homeschool sahaja.

APA ITU HOMESCHOOLING

Homeschooling ini adalah pendidikan di rumah oleh ibu bapa. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pula, Homeschooling merupakan satu kaedah persekolahan di rumah yang diberikan kepada ibu bapa yang memerlukannya seperti mempunyai masalah kesihatan kronik atau sebab yang munasabah bagi memerlukan jagaan rapi oleh pihak penjaga.

Panduan Homeschooling di Malaysia

Sebelum anda memilih untuk menghantar permohonan anda, ketahuilah anda harus mematuhi syarat-syarat yang telah dikeluarkan oleh KPM. Syarat-syaratnya adalah :

  • Warganegara Malaysia
  • Pemohon memiliki kelulusan ikhtisas perguruan
  • Salah seorang ibu bapa mesti menjadi pengajar sepenuh masa
  • Diwajibkan menggunakan kurikulum kebangsaan
  • Berkemampuan untuk penyediaan prasarana yang kondusif

Ibu bapa turut harus membenarkan wakil daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk lakukan lawata pada bila-bila masa ke rumah anda.

Sumber tutorkami : https://www.tutorkami.com/tuition/panduan-cabaran-homeschooling-malaysia/

Berbalik kepada cara aku homeschool anak-anak. Dah beberapa tahun aku dah baca pasal ni dan telah sertai komuniti ibu bapa yang homeschooling anak-anak mereka di Facebook. Antaranya Idea Homeschool Anak dan Santai Homeschooling & Parenting

Ada juga aku sertai Worldschooler di peringkat global. Seronok melihat ibu bapa dari serata pelusuk dunia menyediakan pendidikan terhadap anak-anak mereka. Ada pelbagai jenis kaedah yang boleh diguna pakai.

Anda juga boleh buat research di google, youtube dan juga terus sahaja email dan mendapatkan nasihat daripada KPM.

KAEDAH HOMESCHOOLING

  1. Ibu bapa sebagai pengajar
  2. Mengupah tenaga pengajar
  3. Anak masih bersekolah, tapi belajar di rumah

CABARAN HOMESCHOOLING

  1. Andalah guru besar, guru dan andalah ibu bapa
  2. Perlu tahu akan silibus pendidikan yang diinginkan
  3. Disiplin dari segi jadual masa
  4. Wujudkan suasana sekolah di rumah
  5. Sediakan bahan pendidikan secukupnya

PENGALAMAN HOMESCHOOL ANAK DI LUAR NEGARA

Aku sediakan jadual sebagaimana jadual sekolah mereka. Ada subjek-subjek teras dan elektif. Masa yang diperuntukkan lebih kurang. Takde la terlalu lama atau terlalu sekejap. Aku juga masukkan waktu rehat.

Anak-anak mempunyai meja dan kerusi belajar, laptop dan printer. Segala kelengkapan beg sekolah seperti buku dan alat tulis disediakan. Jika mempunyai amali, aku akan sediakan bahan-bahan yang sama.

Aku adalah guru kepada anak-anak di Tahun 5 dan Tingkatan 1. Aku perlu tahu kesemua subjek, silibus dan takwim.

Buku teks dan latih tubi aku dapatkan di website. Ada yang print dan ada juga jawab di dalam internet sahaja.

Untuk aku, aku perlu faham dahulu apa yang akan diajar. Jika agak sukar, aku akan buka link youtube. Mujurlah juga guru-guru di Malaysia yang membuka channel pembelajaran. Terima kasih cikgu. Aku pun ikut sama belajar.

Ada juga anak-anak sertai live pengajaran dan pembelajaran di youtube. Yang penting, aku kena cakna bila tarikh dan masa.

Pendek kata, aku menjadi guru sepenuh masa buat anak-anak aku. Biarpun berlainan tahap, aku masih boleh menyediakan pendidikan buat mereka.

Yang paling seronok, apabila kami kembalinya ke Malaysia dan anak-anak bersekolah ke sekolaha harian, mereka lebih faham dan jelas apa yang mereka pelajari di Istanbul. Alhamdulillah.

Ini bermaksud, anak-anak tidak ketinggalan dalam pembelajaran di Malaysia. Anak-anak sendiri yang maklumkan yang mereka lebih tau berbanding rakan-rakan mereka ketika itu sedang PdPR di rumah.

SOALAN BIASA DITERIMA TENTANG HOMESCHOOLING

1. Adakah homeschooling sah? – Ya, sah jika anda mengikuti silibus Kebangsaan Malaysia.

2. Bolehkah tak hantar sekolah dalam tempoh yang lama? – Boleh. Syaratnya wajib berikan pendidikan kepada anak-anak tidak kiralah homeschooling atau hantar sekolah di negara berkenaan.

Menutur Akta Pendidikan 1966, kanak-kanak wajib diberikan hak pendidikan kepada mereka. Ibu bapa yang gagal menghantar anak ke sekolah berdepan dengan denda sehingga RM5000 atau penjara selama 6 bulan. Namun,  pada ketika artikel ini ditulis, akta ini hanya mewajibkan anak dihantar hingga ke darjah 6.

3. Balik ke Malaysia nanti, adakah boleh anak saya kembali bersekolah ke sekolah harian? – Boleh. Anak anda akan masuk belajar ke kelas tahun semasa. Sebab itulah kena pastikan anak anda belajar sebagaimana silibus kebangsaan.

4. Guru besar / Pengetua tak persoalkan kenapa anak tidak bersekolah sekian lama? Akan ada soalan itu. Sesiapa pun akan musykil. Jawablah dengan jujur.

5. Adakah pasti anak saya boleh masuk ke sekolah di Malaysia semula? – Boleh. Apa pun, rujuk KPM.

6. Sekiranya saya tak sempat balik sebelum anak saya duduki SPM, anak saya dah tak boleh ambil exam ke? – Mohon di tahun lain.

7. Jika saya homeschool anak tidak mengikut silibus kebangsaan, dan hanya mengajar subjek yang diperlukan sahaja, adakah anak saya boleh kembali bersekolah? – Boleh. Cuma, kesian la budak tu. Terkebil-kebil dalam kelas tak faham. Letak diri kita di tempat anak.

8. Anak saya mungkin tak sempat menduduki peperiksaan SPM. Bolehkah anak saya ambil exam lain? – Boleh. Ada banyak exam antarabangsa. Yang ni anda perlu buat research sendiri tentang peperiksaan yang diikhtiraf di Malaysia. Tapi, apa pun, anda kena faham bahawa SPM juga adalah salah satu sijil yang diperlukan untuk di sesetengah permohonan IPT dan kerja.

Tonton ulasan daripada kami sendiri di Youtube Ralit

Aku tak ulas panjang-panjang pun, takut tersalah info jugak. Aku hanya bagitau secara umum apa yang aku tahu selama ini. Jika ada silap, maafkan aku. Mungkin dah ada perubahan tanpa aku sedar.

Sebaiknya, anda hubungi sendiri Kementerian Pelajaran Malaysia. Pihak sana lebih tepat untuk memberi maklumat.

Yang paling penting, anda tidak boleh membiarkan anak anda tidak bersekolah. Wajib mendapat pendidikan. Cara bagaimana? Terpulang pada ibu bapa sendiri.

Leave a Reply