Perjalanan dari Beijing – Hohhot sejauh 495 km telah pun selamat tiba di stesen kereta api pada pukul 5 pagi bertarikh 8 Disember 2017 baru-baru ini. Kami membeli tiket kereta api jenis Hard Sleeper dan memakan masa selama 10 jam 35 minit. Kami hanya naik dan tidur di dalam kereta api bagi menjimatkan duit penginapan di hotel. Untung masa, untung belanja. Harga tiket pun hanyalah 138 yuan sahaja untuk seorang.

Kami ke Hohhot bertujuan untuk merasai salji. Tapi salji tak ada pun. Yang dirasai hanyalah suhu yang boleh dikatakan ekstrim bagi kami iaitu -16°C. Kami beranggapan, kemungkinan tak ada awan. Langit kosong membiru. Tak ada satu pun awan yang membentuk untuk menurunkan salji. Kecewa kami hanya bersifat sementara. Kami berpeluang merasai pengalaman baru seperti melihat pdpc yang berlaku di sekolah rendah, menimba ilmu pengetahuan di muzium bersama host dan berjalan-jalan di sekitar hotel. Itu cerita di siri kedua. Di siri ketiga pula, kisahnya dah lain. Teruskan pembacaan!

==================================================================
 
9 Disember 2017

Selesai bersolat Subuh, kami tidak bercadang untuk keluar awal. Kami hanya bersarapan pagi di dalam bilik dan masih berehat kerana sakit kepala abah masih belum hilang. Nak keluar jalan-jalan dalam keadaan macam ni, tak seronok juga, kan. Lebih baik berehat. Kalau ikut rancangan, kami akan ke tempat bermain ski bersama dengan Lisa. Tetapi, disebabkan kesihatan tidak mengizinkan, batalkan rancangan adalah lebih baik.

Ingat nak gunakan insurans kami untuk menjalani pemeriksaan di hospital. Apabila Lisa bagitahu kami perlu menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan, kami batalkan juga rancangan ke sana. Bukan sakit melampau pun. Saje je. Sakit ni mungkin disebabkan terlalu lama mengangkat backpack seberat 16 kg. Tekanan di bahu itulah yang menyebabkan sakit sehingga ke kepala. Makan ubat jelah.

Dalam pukul 10 pagi, kami seolah tak tahan duduk lama-lama dalam bilik. Ubat tahan sakit pun dah menjadi. Kami keluar jauh sedikit daripada kawasan hotel dan singgah di kuil lama. Kami boleh masuk begitu sahaja tanpa dikenakan sebarang bayaran. Di dalamnya ada campuran tulisan Rusia, China dan Mongol. Nak terangkan pun kami tak faham juga. Sempat kami ambil beberapa keping gambar di kawasan kuil ini.

 Papan petunjuk arah ke sesuatu tempat. Kami tak pasti ke mana. Hanya mengikut langkah kaki sahaja.
 
Tulisan Rusia tu kan? Kami pun keliru. Maksudnya, di sini terdapat pengaruh dari 3 buah negara dalam satu kawasan. 
 
Sekitar kawasan kuil Nama kuil pun tak tahu sebab tak pandai nak baca tulisan di pintu gerbang.
 

Kami berjalan lagi sehingga terjumpa binaan yang sama sebagaimana senibina kuil sebelum ini. Ada tangga tinggi ke atas. Kami tak naik pun. Kami cuma perasan ada orang keluar masuk melalui satu pintu pengadang angin sejuk. Ada apa dalam tu? Kami pun masuk dengan perasaan ingin tahu. Rupa-rupanya di dalam ni adalah kedai membeli-belah. Suhu sejuk pun dah tak rasa. Ramai orang membeli pakaian musim sejuk di dalam ni. Kami pun turut membeli seluar panas. Murah je. Banyak pakaian dijual di sini dengan harga yang jauh bezanya dengan Malaysia. Cantik dan bergaya lagi.

Senibina yang sama dengan kuil, masjid dan pasaraya. 
 
Keadaan dalam bangunan. Luar nampak biasa dan kosong. Tapi di dalam meriah dengan penjual dan pembeli.
 

Penat mencuci mata, kami pulang semula ke hotel. Berehat dahulu sambil makan tengahari di dalam bilik. Malas nak cari makanan di luar. Biskut pun bukan main banyak dibeli kelmarin dengan harga 11 yuan sahaja satu plastik timbang. Buah tak payah cakap. Masih banyak. Buah di sini segar, manis dan murah. Lebih kurang seringgit sahaja sebiji epal.

Gerai jualan karpet yang dijumpai sewaktu berjalan. Banyak jumpa gerai macam ni. Ada yang jual buah, air, kuih dan macam-macam lagi. Alah bisa tegar biasa. Dengan cuaca bawah takat beku pun masih lagi berniaga di luar pada tempoh yang lama. Kami jalan 10 minit pun dah mula mencari tempat hangat.
 

Pukul 3 lebih kami keluar lagi. Niat kami petang ini untuk menjengah Masjid Besar Hohhot. Susah juga mencari sebab di sini kebanyakan bangunan berbentuk kubah. Jika diperhatikan, yang berkubah adalah pusat membeli-belah. Masjid langsung tidak mempunyai kubah. Senibina masjid lebih kurang dengan kuil yang kami singgah pagi tadi. Pening kejap. Adakah senibina kedua bangunan tersebut adalah campuran dari negara Mongolia dan Rusia? Sebab kami perasan akan tulisan pada kuil dan masjid adalah sama. Wallahualam. Takmau tulis panjang sebab tak pasti.

Kebetulan kami masuk ke perkarangan masjid, terdengar melalui corong pembesar imam sedang membacakan bacaan dalam solat. Sudah masuk waktu Asar. Kami tidak masuk solat berjemaah sebab telah solat jamak siap-siap dalam masjid. Ingatkan nak datang sekali lagi pada waktu Maghrib, tapi kami dijemput oleh salah seorang jemaah masjid untuk makan di kedai makan.

 Pintu masuk menuju ke dalam Masjid Besar Hohhot. Tak ada satu pun kubah di bahagian atas bangunan. Itu yang keliru dengan bangunan membeli-belah.
 
Ahli jemaah baru sahaja selesai solat Asar. 
 

Yang paling tak tahan, kami dihidangkan dengan mi semangkuk seorang. Biasanya kami berkongsi semangkuk 2 orang. Makanan di sini terlalu banyak dalam satu hidangan. Kami tidak boleh habiskan seorang diri. Bayangkan anak-anak kami dihidangkan mi semangkuk yang besar… Memang tak habis. Membazir sahaja. Kami ingatkan nak bayar. Rupanya ahli jemaah tu merupakan tuan kedai mi!

Semangkuk seorang mi diberi. Manalah mungkin kami dapat habiskan. Malu sebab telah bazirkan makanan. Dah la orang belanja.
 

Beliau mengajak kami untuk singgah sebentar ke rumah untuk bertemu ahli keluarganya. Hari mulai gelap. Kami dibawa sehingga ke sebuah bangunan di belakang kedai mi tadi. Dekat je. Apabila pintu dibuka, kelibat seorang wanita muda menyambut kedatangan kami. Nasib baik wanita muda tu dapat bercakap dalam bahasa Inggeris. Dia memperkenalkan dirinya sebagai menantu kepada Haji Bai Zhong. Tahun ni mereka telah mengerjakan haji dan dalam tahun ini juga telah melancong ke Malaysia. Baru faham cerita. Haha..

Kedatangan kami dialu-alukan oleh mereka sekeluarga. Kami dihantar oleh anak lelaki Haji Bai Zhong sehingga ke muka pintu hotel dengan menaiki kenderaan. Sempat juga kami bertanyakan kepadanya kenapa tidak bersalji Hohhot ketika ini sedangkan suhu di bawah takat beku. Katanya, 4 5 hari lagi kawasan ini akan bersalji tebal. Salah tarikh rupanya kami ni. Tak apalah. Bukan rezeki kami. Anggap sahaja Allah swt nak ganti yang lagi baik lepas ni.

Bergambar kenangan bersama dengan keluarga Haji Bai Zhong. Sempat lagi bertukar ID WeChat. Boleh sambung berhubung selepas pulang ke Malaysia nanti.
 

Walau bagaimana hebat pun rancangan yang dirangka, hebat lagi perancangan Allah. Rancangan kami banyak yang tidak menjadi.

Tapi, Allah itu maha pengasihani. Mungkin kami tidak mengeluh dengan ujian-Nya. Banyak reda sahaja. Jadi, Allah telah ganti dengan perkara yang tidak disangka-sangka. Malah, lebih baik daripada perancangan asal kami. Pengalaman paling berharga adalah dapat bergaul rapat dengan penduduk setempat. Sebagai seorang pengembara, pengalaman sebegini paling ingin dirasai. Bukan sekadar datang dan tangkap gambar. Tapi, merasai budaya dengan lebih rapat.

Syukur kepada-Mu. Dapat kami sekeluarga mengenali dengan lebih dekat lagi masyarakat Islam di bumi Hohhot. Semuanya adalah kebetulan. Jangan mengeluh jika rancangan tidak berjaya. Reda dan berserahlah. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja.

———————————————————–

Siri keempat merupakan siri yang terakhir. Panjang betul cerita di Hohhot. Satu daerah yang jarang dikenali oleh rakyat Malaysia. Kami berkongsi pengalaman bagi membuka mata rakyat kita untuk ke sana. Terima kasih kerana sudi membaca!

Travelog-hohhot-inner-mongolia-siri-i ☚ SIRI I

CHINA LIKE NEVER BEFORE