china
Travelog Hohhot, Inner Mongolia Siri IV – Akhir

Travelog Hohhot, Inner Mongolia Siri IV – Akhir

Sedar tak sedar, kami telah berada selama 3 hari di bandar Hohhot. Bumi Hohhot adalah tempat pengembaraan yang sangat bermakna buat kami sekeluarga. Memilih untuk ke bandar ini merupakan satu pilihan yang amat tepat. Perjalanan dari Beijing ke Hohhot sejauh 495 km memang berbaloi. Namun sayangnya, sekejap sahaja kami berada di sini. Di siri keempat ini, kami akan bertolak balik ke Beijing semula dan memilih untuk menggunakan perkhidmatan kereta api sekali lagi.
========================================================================
 
10 Disember 2017
 
Kami kejutkan anak-anak seawal 4.30 pagi untuk bersiap pergi ke stesen kereta api. Kami telah memintak pihak hotel sehari sebelum untuk memanggil teksi. Ini pun selepas mengalami pengalaman kesukaran mendapatkan teksi sebelum ini. Alhamdulillah, teksi berada di hadapan hotel tepat pada pukul 5.30 pagi. Pemandu membawa kami sehingga berhampiran dengan stesen kereta api. Bayaran telah diuruskan oleh pihak hotel.

 

 

Alhamdulillah. Anak-anak sangat mudah mengikut jadual waktu travel kami biarpun terpaksa bangun awal pagi.
 
Ketika orang ramai berpusu-pusu berjalan menuju ke satu arah, kami yang kebingungan terus menuruti tanpa mengetahui mana hala tuju yang betul. Sedang ralit melangkah, ada seorang lelaki menarik tangan abah dan menunjukkan arah ke stesen kereta api yang sebenar. Malu juga kami kerana telah tersalah jalan. Nasib baik juga ada orang yang sudi membantu. Ingatkan tarik tangan sebab apa… Terkejut dengan tindakan begitu pagi-pagi ni. Hilang terus rasa mengantuk!
 
Keadaan di dalam stesen masih lengang. Mungkin kami tiba terlalu awal. Tapi bagus juga. Tak perlu nak berasak masuk sebagaimana kami ketika di Beijing West Railway Station. Solat Subuh pun tak usah risau orang akan tenung. Kami sempat membeli makanan bekal di kedai runcit di dalam stesen. Cari sahaja tanda halal pada bungkusan. Tak susah pun.

 

 

Makanan wajib beli apabila berada di China. Telur memang ada sekali dalam bungkusan. Tak ada persamaan rasa jika dibandingkan dengan megi Malaysia.
 
Petugas meminta semua penumpang untuk masuk ke dalam kereta api. Sama sebagaimana sebelum ni, kami hanya berlenggang-kangkung dan tidak bergegas untuk masuk ke dalam koc. Tiket yang kami beli kali ini jenis Soft Sleeper dengan harga tiket 142 yuan seorang. Satu kabin, 4 katil. Muat untuk kami sekeluarga sahaja. Lagipun, ruang penyimpanan beg juga luas. Perjalanan kali ini lebih privacy dan sangat menenangkan.

 

 

 Walaupun nampak sempit, tapi amat berpuas hati dengan ruang yang disediakan kerana cukup muat untuk kami sekeluarga. 
 
Ruang penyimpanan barang juga ada di bawah katil. Kami boleh muatkan bagpack bersaiz 75 liter. Jangan berangan nak letak beg yang paling besar kat atas. Sakit pinggang nak mengangkatnya.
 
Kami sengaja menaiki kereta api waktu siang kerana ingin menikmati pemandangan semula jadi bentuk muka bumi negara China. Sudah beberapa hari kami asyik melihat bangunan sahaja. Inilah peluang untuk kami melihat bukit, hutan dan sungai.

 

 

Tiada gangguan diterima daripada penumpang lain. Sangat mententeramkan. Rasa seronok melihat pemandangan ke arah tingkap.

 

 
 Naura sedang bermain rumah-rumah bersama abangnya di ruangan katil atas.
 
Dengan penuh bergaya anak teruna kami bergambar di lorong kabin. 
 
 
Bila bosan, bolehlah keluar daripada kabin dan melihat ke luar tingkap yang lebih besar.

 

Sebagaimana yang dibayangkan sebelum ini, kami betul-betul dapat menikmati pemandangan semula jadi di luar tingkap dengan tenang. Tiada langsung gangguan daripada penumpang lain. Seronok dapat mengambil gambar keadaan di luar tingkap.
 

Air sungai yang telah membeku, hutan yang tidak berdaun, lantai yang menguning, bukit-bukau bewarna keemasan dan dapat melihat orang yang sedang mengorek air beku untuk mengail ikan. Suasana yang kami biasa lihat di rancangan National Geographic pada kaca televisyen dan sekarang mampu melihat sendiri secara langsung. Yang membezakan adalah, tingkap telah menggantikan televisyen.

 Bukit menguning bagai sedang dimasak.
 
 Terlihat penduduk sedang mengorek lubang di tasik beku untuk mengail ikan.
 
Kalau perut dah lapar, makan sahaja bekal yang dibeli tadi. Air panas telah disediakan di setiap hujung koc. 
 
6 jam perjalanan dirasakan amat sekejap. Entah kenapa perjalanan pulang lebih cepat 4 jam berbanding waktu malam. Tak puas rasanya. Perasaan ingin sekali lagi kembali untuk menaiki kereta api ini. InsyaAllah, satu hari nanti dengan menaiki Tren Siberian pula. Doakan agar impian kami termakbul.

 

 

Pengembaraan di bumi Hohhot telah berakhir. Terima kasih atas segala pengalaman yang diperolehi sepanjang 3 hari ini.
 
——————————————————————————

 

Terima kasih kerana sudi membaca. Maaf jika catatan penulisan ini ada menyinggung sesiapa. Mungkin kami tidak pandai memberi penyampaian dalam bentuk penulisan. Kami hanya berharap telah membawa pembaca membayangi apa yang kami rasa sewaktu mengembara. Bagi yang berminat untuk ke tempat yang telah kami pergi, sila teruskan niat anda. Tak rugi pun. Mengembara adalah satu ilmu pengetahuan yang berbeza jika dibandingkan dengan buku. Pergi dan rasai sendiri. Semoga impian anda untuk turut sama mengembara tercapai!

 

 

 

CHINA LIKE NEVER BEFORE

3 thoughts on “Travelog Hohhot, Inner Mongolia Siri IV – Akhir

    • Author gravatar

      Khatam dah baca siri ni pagi2 ni lepas hantar anak sekolah. Lepas ni nak baca siri Chengdu, Dujiangyan dan Xiling pula. Biasa la sbg blogger, selain suka menulis, rajin juga membaca, haha. Itu je yg boleh dibuat sepanjang border ditutup. Kdg2 membaca lebih merasai penghayatan berbanding vlog, rasa berada di situ. Tapi apa2 pun, dua2 kaedah terbaik.

Leave a Reply