TALK
Nak tukar pengasuh anak? Sabar dulu

Nak tukar pengasuh anak? Sabar dulu

Ada sesuatu yang berlaku yang membuatkan aku menarik nafas lega. Macam ni. Aku baru sahaja jumpa pengasuh lama Niqrisa. Dia nampak sihat walaupun sedang menjalani rawatan kimoterapi kali ketiga. Rawatan kimo ini terpaksa dijalankan kerana breast cancer yang dialami masih aktif walaupun sudah dibuang Mac baru-baru ini. Kesian. Aku sangat simpati dengannya. Hanya mata sahaja aku mampu tatap. Mukanya dah ditutup dengan purdah. Mungkin taknak bagi orang nampak mukanya yang semakin lesu. Andaian aku…

Imbas kembali tahun lepas sewaktu dia kali pertama menjaga Niqrisa . Waktu tu Niqrisa berusia 3 bulan. Dia tak suka bercakap. Tanya sepatah, sepatah la dijawabnya. Kalau aku senyum je waktu ambil petang, dia pun turut senyum tanpa menceritakan keadaan Niqrisa sepanjang seharian dalam jagaannya.

Saban hari, aku rasakan ada beberapa perkara yang membuatkan aku tidak selesa. Botol susu tak basuh, susu badan aku bekalkan dibuang sesuka hati, anak tidak dimandikan, dan yang paling aku tak boleh tahan adalah dia membawa Niqrisa bersama menggunakan bouncer semasa mengambil anaknya pulang daripada sekolah. Tak safety wei pakai bouncer! Kalau waktu Niqrisa belum mampu bergerak bebas, dia baringkan aje dengan menjatuhkan kerusi depan. Allah…

Bukan itu sahaja. Waktu pagi dia akan keluar hantar anak sekolah. Aku terpaksa terpacak tunggu di luar pagar menunggu dulu dia pulang. Tunggu 10 minit tu biasa. Pernah sekali dia datang 5 minit lagi tempoh tumbprint berakhir. Aku bagitau akan kekesalan dia bersikap begitu. Boleh dijawabnya, “Lain kali tinggalkan aje Niqrisa dalam tu. Takde orang nak ambil la. Nanti awak jugak yang lambat masuk keje.” Konon bergurau. Ko rasa?

Bouncer ni la dia letakkan dalam kereta semasa keluar hantar dan ambil anak sekolah. Bayangkan dia letak macam tu je di kerusi depan.

Aku mula berbincang dengan suami. Suami cakap nak tukar pengasuh takde masalah. Cuma masalah pengasuh ni takkan berakhir. Masalah lain pasti akan ada walaupun tukar pengasuh. Ya. Betul jugak.

Tak puas hanya pandangan suami, aku tanya pendapat kawan-kawan pulak. Ramai yang suruh aku tukar pengasuh. Macam-macam alasan kawan aku ajar. Ada yang suruh aku cakap adik dari kampung datang nak jaga la, Niqrisa dah taknak dah dengan dia la. Aku tak tergamak mencipta alasan. Lagipun dia jiran aku. Nak taknak memang akan terserempak dengan dia di lain kali. Dah la rumah aku ni laluan utama dia ulang-alik. Aku lebih suka berkata benar supaya perasaan bersalah tak menghantui aku seumur hidup. Tapi aku tak berani!

Aku tak salahkan dia 100%. Mungkin dia takde ilmu mengasuh budak. Mungkin juga dia dah biasa dengan gaya hidup sebelum ni dengan anak-anak sendiri. Dia muda lagi. Kahwin waktu berusia belasan tahun. Belum habis sekolah. Jadi anak sulung berumur 21 tahun di usia 38 tahun. Bayangkan dia punya pendidikan dan pergaulan tahap mana. Dan dia tak pernah melawan. Bila ceritakan patut macam ni macam tu, dia akan jawab, “Ouh… Baru tau…”

Entah macam mana aku timbul idea untuk beri alasan macam ni.

“Kak, saya nak tanya tentang Niqrisa ni. Suami cakap dia tak bagi Niqrisa naik kereta tanpa pakai Baby Car Seat. Dia taknak membahayakan anaknya. Kalau akak terpaksa jugak hantar dan ambil anak sekolah, saya terpaksa carikan Niqrisa pengasuh lain sebab saya dah ganggu kerja akak sebagai ibu kepada anak-anak. Akak terpaksa susah-payah nak jaga anak saya lagi dan nak kena kelam-kabut nak uruskan hal dalam rumah akak. Jadi, akak bagi la kata putus.”

Terus lain air muka dia. Macam terkejut sebab aku macam take care hal kesusahan dia pulak. Aku sendiri tak sangka semua tu keluar daripada mulut aku sendiri. Seolah matang sangat. Haha..

Dia mesej aku bagitau minta maaf atas kesilapan yang dia lakukan selama ini dan takkan mengulanginya lagi di masa akan datang. Dan alhamdulillah, dia berubah. Beza sangat la. Tidak la terlalu sempurna. Biasa la manusia. Ada kesilapan jugak. Tapi sikit jela. Masih boleh diterima lagi… Apa pun, setiap kali aku hantar pagi, aku sentiasa doakan agar Allah tolong lindungi Niqrisa dalam semasa dalam jagaannya.

Satu hari dia mengadu ada ketulan di payudara sebelah kiri. Mintak cuti sebab nak cek dengan doktor. Ada la banyak kali jugak la cuti. Susah sangat sebab kena hantar pengasuh sementara. Dia pun macam letih je. Tak mampu nak jaga. Aku mintak potong duit daripada dia untuk bayar kepada pengasuh sementara. Tak daya aku nak bayar penuh sedangkan dia banyak ambil cuti.

Sebulan sebelum puasa, dia memaklumkan kepada aku yang dia akan operate. Positive breast cancer tahap 1. Ya, Allah!! Ini mimpi ngeri kepada semua wanita. Dia minta aku cari pengasuh lain sebab pengasuh sementara tu tak mampu nak jaga anak orang ramai-ramai.

Suami aku carikan pengasuh baru di lain kampung. Perjalanan sejauh 10 minit je. Tapi jauh ke dalam jugak la. Mula-mula agak susah jugak bagi aku sebab biasa anak-anak aku seminit pun dah sampai kalau hantar pengasuh. Kira ni paling jauh la. Alhamdulillah sangat baik dan komited dengan kerja. Takde sedikit pun masalah sehingga ke hari ini. Aku dapat tukar pengasuh lain tanpa perlu bermasam muka. Syukur…

Apa yang aku boleh simpulkan di sini, aku senaraikan di bawah.

1> Sabar. Nak marah macam mana pun sabar. Membalas la sewaktu kita sedang waras. Sebaiknya ketika kita sudah bertenang. Gerenti akal kita boleh berfikir sangat baik. Aku taknak jiwa aku dikawal oleh nafsu semata-mata.

2> Berhemah dalam pertuturan. Cuba sebaik mungkin menyusun perkataan. Berlapik dan bersantun la dengan orang lain. Biarlah orang berkata teruk pada kita tapi bukan kita.

3> Jangan menipu. Dalam keadaan terdesak, memang macam-macam alasan kita akan cipta sebenarnya. Tapi, tolong la alasan tu biar logik. Jangan sampai tahap menipu. Bila kantoi, kita juga yang akan hadap.

4> Tolak dengan baik. Bila tak suka kan, semua nampak buruk. Postitif dalam menolak. Macam aku buat kat atas tu. Lebih kurang reverse psikologi. Patut tu masalah aku, aku tukarkan kesian dengan masalah dia.

Aku sangat lega yang aku tidak menyakitkan hati dia. Bayangkan kalau aku beri alasan yang adik datang nak jaga, tapi sebenarnya aku hantar ke pengasuh lain? Dia pulak ternampak di depan pintu pagar? Lebih teruk lagi, aku dan dia dah tak baik. Bila dapat berita dia kena kanser ni tak ke menyesal aku sebab dah sakitkan hati dia?

Niqrisa berusia setahun dengan pengasuh baru. Dah bam bam tau!

Aku doakan dia semoga cepat sihat dan kembali ke sedia kala. Buat pengasuh baru, aku bersyukur sangat sebab dia sudi jaga Niqrisa. Bertuah pun ada dapat pengasuh baru ni. Jauh beza. Apa yang berlaku, ada hikmahnya.

13 thoughts on “Nak tukar pengasuh anak? Sabar dulu

    • Author gravatar

      Semoga Allah menjaga keluarga akak sekeluarga. Nak komen lebih still bujang.hehe. Pada waktu sekarang agar susah mencari pengasuh yang sangat menjaga anak kita seperti anak mereka sendiri. Kena tawakal banyak kepada Allah. huhu

    • Author gravatar

      Semoga dia diberi kesembuhan.

      Seedih juga bila baca, terkenangkan anak-anak dia yg masih kecil.

      Dan semoga Nhazla juga dimudahkan semua urusan dlm menjaga anak2. Nak cari dan dapat pengasuh yg betul-betul jaga anak2 kita, memang susah juga skrg ni. Kalau dpt yg okey, mmg rezeki sangat.

    • Author gravatar

      Parent yang bekerja sellaunya mesti ada masalah pengasuh untuk anak2 ketika bekerja. Bagus juga tips tu kena berhemah dalam percakapan.

    • Author gravatar

      ni mmg antara benda yang menjadi keutamaan pada ibu yang bekerja, iaitu mencari pengasuh terbaik untuk anak. memang dillemma saya pernah mengalami satu masa dulu. sampai ada rasa nak berhenti keje jer…tapi doa-doa banyak dan bersangka baik memang jumpa cara penyelesaiannya..

    • Author gravatar

      Pengasuh yang baik tu memang penting untuk make sure anak kite yang kite hantar tu terjaga. Saya respek sangat cara nhazla cakap dengan pengasuh tu. Ye lah kite memang risaukan anak tapi dalam masa yang sama tak nak lah kecik kan hati pengasuh kan. Semoga Allah permudahkan segala urusan kite semua menjaga anak anak

    • Author gravatar

      Nak cari pengasuh memang mencabar. Dapat yang baik punya, berasa sangat bersyukur. Jika dapat yang bermasalah punya, memang pening kepala lah.

    • Author gravatar

      Memang betul kena berterus terang. Menipu ni tak bawa apa pun kebaikan.
      Kalau buat kimo, memang tak boleh jaga anak orang. Kimo ni buat badan letih. Then perlu berjauhan dari anak anak. Sebab perlukan rest. Mcm sy ikutkn kena radiotrpi. Tapi sy tak sanggup. Sebab effect yng bnyk. Anak² mungkin tak terurus. Lagipun result operate dah negatif. apapun, Allah sebaik baik perancang..

    • Author gravatar

      Memang susah nak cari pengasuh yg benar2 kita boleh percaya. Macam sis dulu..sis gunakan pembantu rumah, memang banyak kali le tukar sb x pecaya diorg jaga anak kita. Akhirnya dapat yg bagus sangat. Sampilah anak besar kita masih lagi berhubung sampai skrg walaupun dia dah balik Indon..anak2 pun sayang sgt dgn dia

      • Author gravatar

        Kadang Allah sengaja menguji kita. Nak tengok kita sabar macam mana. Alhamdulillah. Nasib baik sangat saya jenis tak mulut celupar. Nak fire2 ni macam tak matang la. Sekarang sangat suka dengan pengasuh baru

    • Author gravatar

      It’s not easy to find a good and trustworthy babysitter. More often than not they’ll not take care of our babies as well as us. But then again we need patience and empathy.

Leave a Reply

Your email address will not be published.