Proses sewa rumah di Istanbul, Turki
Buat pengetahuan semua, aku sekeluarga telah berpindah ke Istanbul pada 3 November 2020. Maka, kami perlukan rumah untuk berteduh kami anak beranak. Kami telah melalui satu proses masuk rumah yang tidak sama sebagaimana kita di Malaysia.
Bagi yang ingin menambah pengetahuan, atau sememangnya ingin mendapatkan maklumat untuk mencari rumah di Istanbul ini, elok sangat la. Sepatutnya anda tahu dahulu prosesnya bagaimana supaya anda lebih bersedia.
Ini merupakan pengalaman kami sendiri. Jika ada perbezaan dengan orang lain, anda seharusnya menimbang tara dengan baik bagi membuat keputusan sendiri.
Bismillah…
SEWA DENGAN EJEN RUMAH – EMLAKCI
Ejen rumah dinamakan emlakci di sini. Di Istanbul, anda perlu berurusan dengan emlakci dan bukan menerusi terus dengan tuan rumah. Untuk mencari sendiri rumah sewa, anda perlu mencari papan iklan yang ditulis perkataan kiralik (untuk disewa) serta no. telefon yang tertera untuk dihubungi.
Atau anda boleh terus ke pejabat ejen rumah yang sememangnya wujud di setiap lorong. Setiap lorong itu hanyalah perumpamaan. Sebab ejen rumah ni sangatlah banyak. Senang sangat dijumpai.
Mengapa tidak terus kepada tuan rumah? Menjadi satu kesalahan jika tuan rumah menyewakan kepada orang lain tanpa menggunakan emlakci. Ada je yang tuan rumah sewakan senyap-senyap. Kalau tertangkap, akan menjadi satu masalah besar kepada kedua-duanya.
JENIS RUANG DALAM RUMAH
Kalau anda beritahu nak dua bilik, anda hanya akan mendapat satu bilik tidur dan ruang tamu sahaja. Jadi, anda perlu nyatakan macam ni.
Nak 3+1. Maka anda akan dapat 3 bilik tidur + 1 ruang tamu.
HARGA SEWAAN
Bergantung kepada jumlah ruang, saiz rumah dan lokasi. 1+1 lebih murah berbanding 2+1. Jika saiz rumah memang anda sudah sedia maklum.
Bagi lokasi rumah pula, jika kawasan berkenaan berdekataan dengan kemudahan yang banyak seperti transportation, pusat membeli-belah, sekolah dan tumpuan pelancongan, harganya jauh lebih mahal.
BAGAIMANA PROSES SEWA?
- Cari sendiri atau terus ke pejabat emlakci untuk mendapatkan jenis rumah. Sila terus ke kawasan yang hendak diduduki. Jangan pula nak tinggal di Findikzade tapi cari di Fetihtepe.
- Selesai berbincang, emlakci akan mengiringi anda ke rumah kosong untuk ditinjau bersama.
- Anda telah meninjau beberapa rumah bersama emlakci dan mungkin bersetuju salah satu rumah berkenaan.
- Apa yang diperlukan, anda dikehendaki menandatangani perjanjian rumah.
- Deposit 2 bulan sewaan rumah, upah emlakci bersamaan sewa rumah satu bulan dan sewa rumah satu bulan. Untuk elektrik, air, gas dan internet anda perlu buat sendiri. Bayaran untuk utiliti lain itu adalah di pejabat yang berlainan. Makluman juga kebiasaan emlakci akan meminta deposit untuk elektrik, gas dan air. Jumlah bergantung kepada perbincangan dengan emlakci.
- Untuk menyambung utiliti seperti elektrik, air, gas dan internet, kontrak rumah perlu disertakan bersama semasa permohonan.
- Harga deposit bagi setiap utiliti berbeza.
Nota kaki : Pemasangan utiliti ini hanya boleh dibuat sekiranya anda mempunyai permit residence (ikamet)
Jika anda baru sampai, sememangnya anda belum mempunyai ikamet. Ikamet hanya boleh dimohon setelah anda tiba di Turki. Cara permohonan akan diceritakan di entri lain.
Jangan gelabah jika tak ada ikamet. Anda masih boleh menyewa rumah dengan memadai menggunakan pasport. Masalahnya hanya pada utiliti lain. Bagaimana kami dapat menyelesaikan masalah ini? Boleh teruskan pembacaan seterusnya jika nak ikut cara kami.
Nak ikut boleh, taknak ikut pun tak apa. Jadikan sebagai pengetahuan sahaja. Mungkin anda ada cara lain. Boleh kongsi di ruang komen. Kita sama-sama berkongsi maklumat dengan membantu orang lain pula.
Sebelum kami ke sini, kami kosong makluman dan memperjudikan nasib sahaja. Sebab itulah entri ini dikongsi agar orang lain tidak senasib seperti kami.
Sewaktu kami tiba di Istanbul, kami tinggal di rumah tumpangan dahulu selama satu minggu. 3 kali bertukar rumah. Bayangkan kami dengan 5 buah beg tarik besar. Berangkut naik turun tangga, dalam hujan, diterima teksi dan macam-macam cerita. Ini berlaku disebabkan kami tidak dapat terus masuk ke rumah sewa.
Suami bukan tajaan oleh mana-mana pihak. Semua perlu diuruskan sendiri termasuklah rumah sewa di Istanbul. Jadi, urusan rumah ini perlu dilakukan setelah ketibaan.
Mujurlah ada seorang hamba Allah yang sangat baik hati yang sudi membantu kami. Kenalkan Aya (Bukan nama sebenar) merupakan seorang ahli MASAT (Persatuan rakyat Malaysia) dan juga pelajar di salah sebuah universiti di Istanbul.
Aya telah bantu kami mencari rumah sebelum ketibaan kami ke sana. Dia memberi 2 pilihan rumah dan kami telah memilih salah satu daripadanya.
Rumah yang kami pilih adalah rumah bawah tanah memandangkan rumah tingkat 1 saiznya sangat kecil buat kami berlima.
Kami menyewa rumah 1+1 sahaja. Ini kerana kami hanya tinggal selama setahun dan tak memerlukan ruang yang sama besar semasa di Malaysia. 1 bilik dijadikan bilik tidur, 1 bilik lagi ruang kami bersama di siang hari.
Baik, kembali kepada pengalaman kami membuat urusan rumah. Emlakci tidak pandai berbahasa Inggeris. Jadi, Aya merupakan penterjemah dan sekaligus pengantaraan kami.
Untuk sewa rumah, hanya pasport sahaja diperlukan. Kami dikehendaki membayar 1350 TL untuk sewa rumah bulanan, deposit 2 bulan sewa, 2700 TL upah emlakci, 1350 TL. Deposit elektrik, air, internet dan gas, 2000 TL.
Sebenarnya, utiliti itu tak perlu pun bayar kepada emlakci. Sebab, kita boleh pergi buat sendiri. Tapi, disebabkan kami tak ada ikamet, kami terpaksa mintak tolong dia. Lagipun, kami baru sampai. Memang tak faham sistem dan taktau di mana nak tuju.
Dinasihatkan agar kepada yang ingin datang menyewa di Istanbul, gunalah ikamet orang yang dah dikenali. Emlakci tidak menyediakan semua utiliti yang dijanjikan. Kami pula yang terpaksa merayu meminta bantuan ikamet pelajar Malaysia lain untuk menyambung utiliti seperti gas dan internet.
Jangan sesekali menggunakan khidmat emlakci untuk sambung utiliti.
Tak ada masalah sebenarnya menggunakan ikamet orang lain dulu sementara menunggu proses ikamet sendiri diperoleh. Tidak menjadi kesalahan pun kalau sedang dalam proses mohon ikamet.
Tapi, selepas mendapat ikamet, anda harus secepat mungkin menukar semua sambungan utiliti tadi ke atas nama anda.
PESANAN BUAT YANG BERHIJRAH
- Pastikan anda mempunyai duit yang mencukupi semasa tiba ke Istanbul. Anda tidak akan menjangkakan duit keluar banyak tanpa sedar. Berapa jumlah duit perlu dibawa, aku tak tahu. Bawa la sebanyak mungkin.
- Banyakkan curiga daripada percaya. Maksud di sini, jangan percaya bulat-bulat. Banyakkan membuat pembacaan dan membanding beza pengalaman orang lain. InsyaAllah, anda akan mudah faham akan sistem di sini.
- Berhijrah bukan melancong. Maksudnya, rancang sebaiknya selama tempoh berada di Istanbul. Tak kira dari segi kewangan maupun aktiviti.
- Apa tindakan dibuat perlu serius. Bertegaslah dengan keputusan sendiri. Percayalah dengan kata hati. Biarpun orang lain yang memberi pendapat. Pendapat dia hanya di situasinya. Bila di situasi anda, andalah penentunya.
- Entri aku ini hanya menjurus kepada pengalaman aku sahaja. Tidak ada selit satu pun cerita orang lain. Nak tau hal orang lain, sila buat carian sendiri.
Pesanan di atas dah takde kaitan sangat dah dengan hal proses sewa rumah di Istanbul. Cuma aku rasa nak pesan je. Kadang kita bayangkan lain, datangnya jadi lain.
Aku pun tertanya jugak ni, orang anggap entri ni negatif ke positif? Membantu ke tak? Haha
Baiklah. Apa pun, selamat menambah ilmu baru ya. Kepada yang nak datang Istanbul, Hos Geldiniz! Bermaksud, selamat datang. Awal tiba dulu susah. Sekarang dah boleh cakap Turki dah sikit-sikit. Hehe
Jangan lupa untuk berikan pendapat, berkongsi idea dan pengalaman di ruangan komen di bawah. InsyaAllah, aku akan balas kesemuanya.
Di bawah ni penerangan yang lebih jelas tentang prosedur sewa rumah di Istanbul. Bila lihat dan dengar.
4 thoughts on “Proses sewa rumah di Istanbul, Turki”
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.
Assalamualaikum..
terima kasih untuk maklumat yang dikongsikan. Boleh sama-sama kita belajar dari pengalaman orang lain.. Boleh saya bertanya, sambung belajar di Universiti mana? Saya juga berminat untuk sambung belajar di Istanbul.. Insya Allah tengah buat research Univerity yang sesuai di Istanbul.
Waalaikumsalam. Bukan saya yang sambung belajar. Tapi suami, di Halic Universiti. Semoga dipermudahkan urusan dan diperkenankan impian cik
Assalamu’alaikum. Cerita kk sama dengan yg saya alami sekarang. Kami datang sudah 4 hari yg lalu.. Saya beserta anak usia 1 tahun dan istri hijrah ke turki guna nak sambung study. Ternyata susah sekali untuk mencari rumah sewa di turki. Harus memiliki ikamet dulu. Sedangkan kami baru daftar tumer dan ikamet masih belum jadi. Adakah kiranya info rumah sewa dari kakak untuk kami tinggal, sementara ikamet kami jadi. Smoga kk dan keluarga slalu di berikan kemudahan dalam setiap urusannya. Aamiin
Maaf atas kelewatan membalas. Ini entri baru yang mungkin saudara sudah terlepas. https://nhazlafikri.com/index.php/2021/09/20/pengurusan-rumah-di-istanbul/