
Tips jimat travel ke Tokyo bersama anak kecil
Ini pengalaman travel kami sekeluarga ke Tokyo pada Disember 2016 yang lalu. Waktu tu kami masih berempat bersama abang dan kakak yang masih kategori anak kecil. Niqrisa lahir tiga tahun selepas tu. Aku tulis semula pengalaman ini agar dapat berkongsi tips kepada ibu bapa di luar sana yang teringin membawa anak-anak bersama travel ke Tokyo.
Baca entri kami : Travelog Disember sekeluarga keTokyo, Jepun
Untuk pengetahuan, kami ke sana menggunakan pesawat Vietnam Airlines dan transit selama 8 jam di lapangan terbang Ho Chi Minh. Huh! Lama kan. Ini disebabkan kami nak berjimat. Nanti kami terangkan lagi di bawah.
Ramai ibu bapa yang mempunyai masalah perbelanjaan apabila melibatkan ramai ahli keluarga turut serta untuk travel bersama. Nak nak lagi ke Jepun kan. Melibatkan kos yang sangat besar. Kadar wang tukaran jauh lebih mahal berbanding dengan kita. Pembelian di sana pun boleh tahan harganya. Satu mangkuk mi ramen mencecah RM50 tau. Jadi, apa yang membolehkan kami semua sampai ke Tokyo dengan lima ahli sekeluarga? Ikuti tips kami.
1. TIKET PENERBANGAN
Kami paling risau bab tiket flight. Kebanyakan harga biasa adalah RM1200 sehala. Bayangkan aku waktu tu berempat. Korek bank pun tak mungkin cukup bawa anak dan pasangan. Haha Jadi, aku dan suami buat carian di semua syarikat penerbangan. Cari seawal 6-8 bulan sebelum tarikh pemergian.
Usah letakkan tarikh. Elok search untuk satu bulan. Hari juga memainkan peranan. Elakkan memilih hari Sabtu dan Ahad. Dan, jangan dikisahkan sangat masa berangkat. Subuh pun, subuh la akak-akak oiii. Asalkan murah. Boleh je solat time tu. Tak sempat di surau disebabkan sesak, boleh solat di ruang tersembunyi agar tidak menghalang gangguan orang ramai. Atau, boleh je berwudhuk siap-siap dan pergi ke tempat duduk dalam pesawat, dan solat duduk. No big deal la.
Kami menaiki pesawat Vietnam Airlines dengan harga dewasa RM700/pax return dan RM500/pax return bagi kanak-kanak. Tapi perlu transit di lapangan terbang Ho Chi Minh dulu selama 8 jam. Aku pun ada silap jugak. Ingatkan 8 jam tu nak keluar daripada airport untuk jalan-jalan dalam bandar. Rupa-rupanya kami sampai waktu malam. Keluar nak gi mana sebab semua kedai dah tutup. Bahaya lagi adalah. So, jangan buat kesilapan sama macam aku.
2. MAKAN
Bawa bekal. Malu apa bossku… Nak jimat macam ni la salah satu caranya. Biarpun ada la bunyi belakang cakap-cakap kami pelancong sengkek. Nak travel kena berduit banyak. Peduli la kan.
Aku tak pasti kapasiti makan korang macam mana. Bagi aku, cukup sekadar kenyang dan tak cerewet langsung kalau tak makan nasi. Kebiasaan aku bawa adalah megi sebungkus, serunding yang dipek mengikut hari dan coklat Sneakers. Aku suka Sneakers sebab tak cair, sedap, ada kacang, mengenyangkan dan mudah dibawa. Air 3 in 1 seperti milo dan kopi.
Beras, gula, garam, makanan tin dan roti memang tak bawa. Jarang-jarang sekali ada la aku bawa biskut. Tapi aku tak suka. Biskut mudah pecah dan hancur. Roti pulak akan kemek di dalam beg.
Nak sangat makan roti, beli kat sana. Bawa sekali pek mushroom soup instant. Sedap bila dicicah panas-panas. So, semua ni terpulang. Elakkan bawa terlalu banyak sehingga menjadikan makan adalah perkara utama.

Aku ada juga makan kat luar. Rugi la bila dah jejak tempat orang tapi tak jamah makanan sana. Cuma, perlu pandai berjimat. Aku sekeluarga kebiasaannya akan makan tengahari di luar. Biasanya berkongsi. Mahal oiii…. Tak kenyang baru cari makanan side lain contohnya nasi gumpal atau kuih-muih sana. Pelbagaikan makanan untuk dirasa. Satu pinggan sorang memang rugi la. Tak boleh nak rasa banyak. Siapa sama macam aku suka cuba makanan di pinggan orang lain? Haha..
Selain daripada tu, aku dan pasangan beli barangan mentah seperti telur di kedai. Boleh masak mi dengan telur. Atau beli roti dan buat sandwich. Boleh juga bekal semasa berjalan-jalan. Jimat banyak.
3. PENGANGKUTAN
Tokyo merupakan bandaraya yang banyak dengan pengangkutan awam yang sangat sistematik. Aku banyak naik subway (train) kat sana. Takde guna kad PASMO atau kad apa-apa yang kena bayar dan topup tu. Aku cuma pergi ke mesin, bayar dan bila dah tiba terus bagi kad tu.
Bukan apa. Kami banyak pergi melawat di kawasan Tokyo berdekatan. Harga tetap 140 yen je untuk sehala. Train tu dah set looping. Pergi la mana-mana pun. Asalkan dalam loop diberi. Harga sama je.
Anak bawah 6 tahun percuma. Bawah 12 tahun pula separuh harga. Banyak betul berjimat. Berjalan semasa anak masih kecil ni menguntungkan. Tak banyak nak kena bayar. Kami yang dewasa ni la mahal. Semua kena bayar full.
Kalau pandai naik bas lagi menjimatkan. Sekali je naik bas untuk ke Kawaguchiko Lake. Susah sikit nak faham Bahasa Nihonggo. Tapi takpe. Boleh Google Image Translate.
4. PENGINAPAN
Aku tak menginap di hotel. Mahal! Kalau nak diikutkan, hotel sebenarnya lebih baik. Tapi disebabkan aku datang ramai sekeluarga, jadi apartmen di Airbnb lebih sesuai.
Harganya jauh berbeza sekiranya tempah melalui sesawang seperti Agoda atau Booking.com. Biarpun di sesawang sana juga boleh menyewa satu apartmen, tapi harganya banyak beza.
Bagi yang tidak familiar, Airbnb ni macam homestay di Malaysia. Cuma ditempah melalui perseorangan dan bukan di bawah company. Airbnb hanyalah medium tuan rumah mengiklankan sewaan tempat penginapan. Kalau orang Malaysia terkenal di sesawang Mudah.My. Lebih kurang la konsepnya. Cuma bagi aku ianya lebih baik dan insya Allah selamat.

Pernah sekali je pengalaman tak best bersama Airbnb. Tapi dapat diselesaikan awal sebelum terbang ke sana. Boleh baca di link ini. Lain-lain pengalaman semuanya ok dan sangat memuaskan hati. Itu yang jadi tak pernah puas menempah penginapan di Airbnb.
Aku lebih suka pilih apartmen yang mempunyai katil yang cukup buat aku dan anak-anak, ada dapur dan kelengkapan memasak, mesin basuh untuk recycle balik baju-baju dan penginapan mestilah berdekatan dengan kemudahan pengangkutan serta sumber makanan.
Apartmen kami sebelum ni di Ikebukuro. Jalan kaki je nak naik tren atau ke kedai runcit mencari makanan. Trem pun ada di sebelah rumah. Elakkan menginap di area yang jauh dengan kemudahan yang aku bagitau di atas. Memang akan murah. Macam sebelum ni, aku dapat harga RM440 selama 5 malam. Fuh, meleleh tengok harga. Tapi bila tengok kemudahan semuanya jauh-jauh. Dah kena tambah kos makin mahal pulak.
5. TEMPAT DILAWATI
Aku dan suami akan menetapkan tempat lawatan yang tidak menggunakan modal yang banyak seperti berjalan di taman-taman, pasar, mall atau muzium masuk percuma.
Bukan semuanya tempat kami ke sana free. Bagi aku, kalau boleh elakkan tempat berbayar seperti Taman Tema Disneyland atau Muzium Ghibli Studio. Tapi, jika anda mampu,, silakan. Takde siapa boleh halang. Pandai-pandai la bajet. Aku dan suami tak suka sangat bersesak di tempat macam tu.

Aku pernah ceritakan dalam entri aku ke Tokyo sebelum ni di link ini. Boleh baca satu persatu tempat yang telah kami jejak selama 6 hari 6 malam.
Travelog Disember sekeluarga keTokyo, Jepun
Diharap dengan perkongsian ini dapat membantu semua ibu bapa yang berhajat untuk membawa anak-anak bersama ke Tokyo satu hari nanti. Sebenarnya tips ni terpakai untuk ke negara mana sekalipun. Lebih kurang je cara berjimat. Apa pun, jika istiqamah pasti berjaya.
Happy Travelling!!!!
- Trip Indochina – Kembara Phnom Penh, Kemboja // Day 3
- Trip Indochina – Menaiki bas ke Phnom Penh, Kemboja // Day 3
- Trip Indochina – Bermula di Ho Chi Minh, Vietnam // Day 1
- Trip Indochina – Cara nak melawat Cu Chi Tunnels Ho Chi Minh // Day 2
- Perbelanjaan lebih murah di Wilayah Narathiwat – Day 3