Cara nak berhijrah ke luar negara
Daripada aku penat menjawab pertanyaan orang lain tentang bagaimana kami berpindah luar negara ni, baik aku sediakan entri baru. Sebelum ni, aku ada buat entri pasal BERHIJRAH ke LUAR NEGARA – a.k.a Migrate Istanbul, Turki. Tapi entri tu lebih kepada proses ketika nak keluar negara dalam dokumentasi video yang dah dimuat naik di channel Ralit.
Kali ni, aku nak ceritakan cara bagaimana yang membolehkan kita pindah dan tinggal secara sah di negara yang diingini. Ingat, sah ya. Bukan secara haram. Aku taknak ajar dan aku taknak ada sangkut-paut pun dengan benda-benda haram ni.
Perkara yang akan dikupaskan ini hanya berdasarkan research dan pengalaman sendiri serta orang-orang yang telah aku hubungi. Mereka yang dihubungi tu semestinya orang telah berjaya meloloskan diri berhijrah ke negara pilihan. Ada yang masih menetap di luar negara, dan ada juga yang dah pulang ke tanah air.
Tak kiralah tempoh lama mana pun nak menetap, yang penting, anda perlu tau dulu bagaimana nak pindah ke luar negara. Jika anda adalah salah seorang yang berhajat tinggi untuk cuba nasib selain di bumi Malaysia, boleh tengok cara ini.
Ini adalah kebiasaan orang kita buat. Semua ni adalah sah di sisi
- Mendapat tawaran kerja.
- Sambung belajar.
- Berkahwin dengan rakyat negara berkenaan.
- Berniaga.
- Kerja amal.
Kiranya inilah senarai top cara orang kita buat. Cara lain aku jarang sangat dengar. Mungkin bagi yang tau, boleh komen di bawah nanti. Sekurang-kurangnya ada penambahan maklumat yang aku sendiri turut tahu.
1. Mendapat tawaran kerja
Nak kerja di luar negara, anda perlu dapat dulu surat tawaran kerja (offer letter) Platform nak apply kerja tu banyak. Contohnya di Linkedin, Glassdoor dan Indeed. Banyak lagi cuma ini adalah paling hangat digunakan.
Tengok dulu syaratnya apa di syarikat yang dipohon. Biasanya nak IELTS, PTE, sudah berada di negara berkenaan atau apa-apa jela. Baca betul-betul syarat yang ditawarkan supaya kelayakan kita tu bertepatan.
Banyak juga perlu disediakan sebelum memohon. Pastikan resume atau CV dikemas kini, profil menarik dan profesional, menyertakan pengalaman kerja serta mempunyai sijil berkaitan.
Jika anda mempunyai apa yang diperlukan di atas, bolehlah mula mencari kerja. Pergi dengan keadaan bergaji. Siapa taknak kan. Dalam beberapa tahun, berkemungkinan anda layak memohon PR. Contohnya Australia dan Kanada.
Bagi freelancer tapi nak masuk negara orang dan tetap ingin mengekalkan kerja freelance, anda tidak boleh tinggal lama. Hanya boleh menggunakan pas pelancong jela. Tempoh melancong biasanya tidak lama. Bergantung kepada negara yang anda pergi. Macam Turki, hanya boleh menetap selama 90 hari sahaja. Selepas tempoh itu, anda perlu keluar dari negara berkenaan.
Boleh je nak buat. Cuma leceh la nak keluar masuk negara berkenaan. Lagipun, anda tidak akan dapat kelebihan apa-apa memandangkan anda tidak ada pas menetap. Kelebihan yang sangat diperlukan apabila tinggal lama di luar negara adalah perubatan dan pendidikan. Sebenarnya banyak lagi kelebihan.
2. Sambung belajar
Nak kata mudah tak. Nak kata senang pun tidak. Ianya bergantung. Jika anda bujang lain. Keluarga pulak lain. Nak, nak yang ada anak. Atau yang biasiswa lain, tanpa tajaan lain pulak. Ia membezakan kos dan prosedur.
Manakala yang bekerja sebagai kakitangan awam pula, lagilah banyak prosedur yang saaaaangat menyemakkan kepala.
Jadi, aku nak ulas point ni terlalu panjang. Situasi berbeza di status orang yang lain-lain. Tak boleh la nak kata, “Eh, orang tu senang je aku dengar di pergi sambung belajar. Kenapa kau susah?”
Susah ke senang, itu bergantung dengan level yang diminta, dengan scholarship ke tak, kerja goverment atau swasta, bekeluarga atau belum.
Dan satu lagi, tengok juga syarat pengajian. Adakah memerlukan ujian Bahasa dulu atau memerlukan sijil berkaitan. Setiap tempat pengajian di negara berkenaan tidak sama. Baca elok-elok. Berulang kalilah baca sampai faham. Jangan skip!
Macam aku. Aku ikut suami sambung belajar ke Istanbul, Turki. Pengajian ditanggung sendiri tapi terikat dengan kontrak kerajaan. Dia punya prosedur, Ya Rabbi… Korang boleh scroll up balik tengok video-video aku dan suami lalui semasa nak mohon dan berhijrah. Rumit!
Cara ni membolehkan anda sah untuk tinggal di luar negara selama anda menghabiskan pengajian. Tamat je masa, kena terus balik. Sebab visa pengajian tak boleh dipanjangkan melainkan anda sambung belajar lagi.
3. Berkahwin dengan orang tempatan.
Dah jodoh dengan orang tempatan negara berkenaan, maka tidak ada masalah tinggal sana. Hanya perlu membuat permohonan membaharukan pas menetap. Nak dapat PR? Amik masa sikit.
Tapi, anda sah untuk tinggal di negara berkenaan kerana telah berkahwin dengan warganegara sana.
Jadi, anda dah boleh mula membina ayat nak tackle orang sana ya. Jangan lupa jemput aku ke majlis kahwin sebab cadangan ni telah membuatkan anda berjaya untuk bakal tinggal ke luar negara. Kah!
4. Berniaga
Ini bukan calang-calang. Memerlukan modal yang banyak untuk membuka tapak perniagaan. Prosedurnya sangat rumit.
Kebiasaan orang kita akan pergi dulu dengan tawaran kerja di pejabat dan bekerja beberapa tahun. Sehinggalah terkumpul duit yang membolehkan membuka perniagaan di negara berkenaan.
Kalau nak buka dari Malaysia, boleh. Tapi, aku tidak pasti caranya. Yang aku tau, peluang untuk dapat sangat susah disebabkan kena bersaing ramai. Jangan lupa, modal pun sangat besar.
5. Kerja amal.
Pernah aku search untuk kerja amal di negara berkenaan. Banyak jugak. Aku pun dah lupa nama-nama website. Anda sah untuk menetap di negara berkenaan selama mana tempoh menjadi sukarela.
Makan, minum dan tempat tinggal disediakan. Ada yang 3 bulan, 6 bulan, setahun dan ada juga yang 2 tahun membuat kerja amal.
Ada negara yang menyediakan syarat ini untuk membolehkan orang luar memohon PR setelah tamat tempoh matang. Untung kan?
Tapi, sanggup ke? Kerja tidak bergaji. Untuk bujang boleh la kot. Bagi aku yang bekeluarga ni, nak jugak income bulan-bulan. Kalau ikutkan, anak-anak diberi pendidikan percuma. Tapi, kita perlu bertahan tanpa gaji dan bekerja secara sukarela serta diberi tempat berteduh oleh orang lain.
Mungkin sesetengah orang lain seronok begitu. Aku pun. Tapi bila fikir bab anak-anak, aku macam tak boleh. Aku juga perlu fikirkan perasaan mereka. Keputusan mereka juga aku perlu pertimbangkan. Walaupun aku ibu bapa, tapi aku perlu berlaku adil dengan anak-anak.
Ini hanya pandangan aku hanya berkisarkan keluarga sendiri. Mungkin tidak terpakai kepada keluarga lain yang suka dengan kerja amal ini. Wallahualam.
Setakat itu sahaja perkongsian aku. Aku bukan nak tunjuk pandai.Tapi aku hanya nak sebarkan apa yang aku dah tau selama ini. Walaupun aku dah berjaya sama dapat meloloskan diri ke Istanbul, aku masih belum puas. Sebab ini hanyalah satu langkah sahaja.
Kalau ikutkan, Istanbul bukanlah matlamat kami. Hanya peluang dan kesempatan ini sahaja yang kami ada. Rezeki jangan ditolak.
Dalam masa yang sama, kami juga sedang berusaha ke negara yang sangat nak kami pergi menetap. Masih dalam proses usaha. Sangat susah. Lebih-lebih lagi bila dah berumur.
Bukan tua. Aku tak mengaku lagi tua. Haha Cuma, di negara berkenaan ada had umur untuk mendapatkan PR.
Niat mula-mula nak rasa je. Bila dah duduk, kami nak cuba pula dapatkan permit kerakyatan. Hal tak mustahil jika berusaha. Tapi entah kenapa ramai memandang serong bila kemukakan hajat nak berhijrah.
Orang akan cakap tak kenang budi dan tidak mempunyai semangat Malaysia. Sebenarnya, apabila kita dah keluar daripada comfort zone, automatik pemikiran kita akan jadi berpusing 360 darjah.
Bukan poyo. Tapi hakikat. Ingatlah balik kisah Nabi berhijrah. Cuba lihat dari sudut mata Islam tentang mencari ilmu dan pengalaman di tempat lain. Jangan sempitkan minda. Terbukalah hati menerima bahawa bumi dipijak ni adalah milik Allah semuanya.
Tak derhakanya bila kita menetap di negara lain. Tak salah pun sisi undang-undang kalau caranya betul. Lainlah kalau niat masuk haram. Atau yang sengaja mintak perlindungan di negara berkenaan sedangkan Malaysia aman damai. Nak berlindung dek apa? Kalau orang macam tu, silalah kecam mereka. Aku pun geram sebab orang lain bersusah-payah nak menetap. Diorang senang-senang tinggal di luar negara dengan diberi segala kemudahan tanpa bayar satu sen.
Wah, ini dah pakej membebel!
Jadi, kat atas tu aku tegaskan. Apa yang aku kongsi ini adalah sah. Yang haram tu tidak mungkin sesekali aku sokong. Orang macam tu, silalah buang mereka dari negara. Balik pun akan tetap jadi orang yang membebankan.
Ops, dah lebih ni. Aku share semula tips bagaimana mohon keluar negara di link di bawah ini. Klik la mana-mana nak tengok. Semua ni video di youtube. Sila subscribe sekali. Tekan la loceng untuk terima notis video baru setiap minggu.
Maafkan jika aku terkasar bahasa atau korang tak faham. Bolehlah panjangkan di ruang komen. InsyaAllah. Akan aku balas satu persatu.
- Pengembaraan satu family ke Guangzhou, China
- Percayalah, Allah is the best planner
- Naik teksi di China dengan Didi Apps – Greater China
- Apps perlu download sebelum travel ke China
- Naik teksi di China guna Aplikasi Didi