
Trip Indochina – Cara nak melawat Cu Chi Tunnels Ho Chi Minh // Day 2
Ini merupakan Overland Indochina Trip oleh kami 5 sekeluarga. Kami tu adalah aku sendiri, suami dan 3 orang anak yang berusia 14, 12 dan 4 tahun.
Entri kedua ini mengisahkan tentang bagaimana cara kami pergi melawat Cu Chi Tunnels. Aku tak sure ejaan betul. Terowong Chu Chi atau Cu Chi.
Kepada yang terlepas entri pertama trip Indochina aku ni, boleh tekan Trip Indochina – Bermula di Ho Chi Minh, Vietnam // Day 1 untuk ketahui lanjut.
Aku ceritakan serba ringkas tentang terowong ini dan kenapa kami ingin ke sana. Atas permintaan anak lelaki aku yang ingin tahu tentang sejarah, kami memilih Cu Chi Tunnels. Lagipun, kami dah search dulu menarik di terowong itu.
Terowong ini terletak di kawasan dinamakan Cu Chi dan masih di daerah yang sama iaitu Ho Chi Minh (Saigon) yang juga merupakan terowong terhubung terbesar. Terowong itu digunakan oleh askar Viet Cong sebagai tempat persembunyian semasa pertempuran, serta berfungsi sebagai laluan komunikasi dan bekalan, hospital, tempat penyimpanan makanan dan senjata serta tempat tinggal bagi banyak pejuang Vietnam Utara.

Sistem terowong adalah sangat penting kepada Viet Cong dalam penentangan mereka terhadap pasukan Amerika, dan membantu menentang usaha ketenteraan Amerika yang semakin meningkat. Terowong itu sering dipasang dengan perangkap samar letupan atau lubang kayu punji.
Kompleks terowong sepanjang 75 batu (121 km) di Cu Chi telah dipelihara oleh kerajaan Vietnam, dan bertukar menjadi taman peringatan perang dengan dua tapak paparan terowong berbeza, Ben Dinh dan Ben Duoc. Terowong adalah tarikan pelancong yang popular di Vietnam, dan pelawat diberi peluang untuk merangkak di bahagian yang lebih selamat dalam sistem terowong.
Serba ringkas la aku ceritakan tentang terowong berkenaan. Disebabkan sejarahnya yang hebat itulah yang membuatkan kami teruja untuk pergi dan alami sendiri keadaan kehidupan askar terdahulu.
PILIHAN KE CU CHI TUNNELS
Ada dua pilihan untuk ke sana. Pergi lawatan berkumpulan (pakej), atau menaiki pengangkutan awam dengan membeli tiket bas (lebih menjimatkan)
Bas Awam ke Terowong Cu Chi
Perjalanan bas dari Ho Chi Minh City ke Ben Duoc Cu Chi Tunnels akan mengambil masa sekitar 2h10.
Pergi ke Stesen Bas Ho Chi Minh di hujung barat Jalan Backpacker (Pham Ngu Lao) di Daerah 1. Naik Bas Nº13 ke Stesen Cu Chi (bas bertolak setiap 30 minit)
Tiket dibeli semasa menaiki bas dengan harga €0.28 / $0.34 USD per orang. Ini adalah bahagian pertama perjalanan dan ia akan mengambil masa 1 jam 20 minit.
Setibanya di sana, naik bas No. 79 untuk ke Ben Duoc. Harga tiket adalah €0.24 / $0.30 USD dan perjalanan mengambil masa 40 minit.
Selepas 40 minit, anda akan tiba ke hentian stesen. Turun dan berjalan ke seberang jalan sejauh 500 meter untuk ke kaunter tiket.
Atau,
Sampai je di perhentian bas tadi, boleh je naik teksi. Cumanya, teksi ni mahal dan ramai penipu. Mereka akan ketuk duit anda sebanyak yang mungkin.
Lawatan Berkumpulan
Kami memilih menggunakan pakej yang disediakan oleh travel agency. Anda boleh ke mana-mana kedai agensi yang disediakan di kawasan Ben Thanh. Disebabkan kami banyak kali berulang-alik di Malaysia Street untuk makan, kami memilih Bismillah Tour yang kebetulan kedainya di situ.

Bismillah Tour adalah recommended by traveller from Backpackers Buddies Malaysia Facebook Group. Bagi aku, agak pricey tapi berbaloi.

Aku tak perlu bersusah-susah mencari bas dan menunggu lama untuk ke sana. Lagipun, aku bersama anak-anak. Kesian mereka terpaksa turun naik pengangkutan berulang kali. Satu lagi, waktu kami decide nak ke Cu Chi Tunnels tu dah agak lewat.
Jika betul anda nak ke Cu Chi Tunnels, sila pergi awal pagi. Ini kerana, lawatan ini sangat lama dan memerlukan masa seharian memandangkan perlu mengambil kira tempoh perjalanan dan lawatan dalam terowong itu. Sangat lama ya. Perjalanan pun dah 2 jam. Semasa lawatan pun dah 2 jam. Balik pulak 2 jam. Semuanya lebih kurang 6 jam.
Berbalik semula dengan Bismillah Tour. Kami pergi lawatan berkumpulan. Harga bayaran mengikut perseorangan. Lawatan ini menaiki bas yang disediakan oleh pihak tour.
Bayaran bas + tiket masuk bagi usia 7 tahun ke atas = RM75 (seorang)
Bagi yang berusia 6 tahun ke bawah, percuma bas dan tiket masuk.
Namun begitu, budak bawah 6 tahun perlu duduk beriba bersama ibu atau bapa. Kebetulan bas tak penuh hari tu. Makanya, Niqrisa dapat duduk secara percuma. Tak la penat duk beriba sepanjang 2 jam perjalanan.

Pakej ini termasuk mengambil pengunjung dari hotel penginapan masing-masing. Semua pengunjung dari pelbagai negara akan dibawa ke Cu Chi Tunnels di Ben Dinh.
Berbeza dengan lawatan persendirian. Anda boleh memilih Ben Duoc atau Ben Dinh. Bagi yang lawatan berkumpulan, mereka akan ke Ben Dinh.
KELEBIHAN MENGGUNAKAN PAKEJ LAWATAN BERKUMPULAN
- Berjadual
- Menjimatkan masa
- Bermaklumat (tour instructor)
- Diberikan air mineral
KELEBIHAN MENGGUNAKAN PAKEJ BISMILLAH TOUR
- Boleh berbahasa Melayu
- Pilihan bayaran Dolar, Ringgit atau Dong
- Mudah berurusan
Dalam beberapa perkara, bukan semuanya boleh dibuat sendiri. Ada kalanya baik kita menggunakan pakej. Contohnya seperti lawatan sebegini. Seronok bila dapat mendengar penerangan bermaklumat daripada guide yang diiktiraf oleh kerajaan.
Jelas diceritakan tentang sejarah Hanoi dan Ho Chi Minh. Bahasa Inggeris yang digunakan sangat mudah difahami. Anak-anak kami pun boleh faham.
Lagipun, kami pergi dengan anak-anak. Kami perlu pastikan keselamatan anak-anak yang paling diutamakan. Jika kami pergi secara diy, berkemungkinan tersesat dan mengambil masa yang lama di dalam pengangkutan.
Jangan sesekali lepaskan peluang melawat Cu Chi Tunnels semasa berkunjung di Ho Chi Minh. Aku berani jamin, anda tidak akan bosan. Malah, anda akan kagum dengan kehebatan askar yang membina terowong berantai ini bagi meneruskan hidup.

Bukan sahaja anda hanya melihat dan mendengar, anda juga diberi peluang untuk merasai sendiri merangkak di dalam terowong yang sebenar. Aku dan suami tak masuk sebab nak jaga Niqrisa. Hanya Nufail sahaja yang berani mencuba. Berpeluh sakan dia di dalam terowong.
Di penghujung lawatan, anda akan dihidangkan dengan makanan zaman perang iaitu ubi kayu cicah dengan gula. Teringat pula zaman perang di Tanah Melayu dulu yang ketiadaan sumber makanan selain ubi.

Secara tak langsung, kita akan berasa bersyukur lahir di zaman kini yang aman damai. Kita boleh hidup bebas dan berkelana ke mana sahaja kita mahu tanpa sebarang sekatan oleh pihak askar yang kejam. Tiada lagi tempat persembunyian sebagaimana mereka yang terdahulu. Kini kita sudah pun merdeka.
Baik, itu sahaja perkongsian daripada aku. Semoga memberi manfaat dan membantu anda untuk selamat tiba di Cu Chi Tunnels. Mungkin ada kekhilafan daripada maklumat aku. Aku mohon maaf dan akan perbaiki dari masa ke masa.
Selamat mengembara!
Entri pertama : Trip Indochina – Bermula di Ho Chi Minh, Vietnam // Day 1
2 thoughts on “Trip Indochina – Cara nak melawat Cu Chi Tunnels Ho Chi Minh // Day 2”
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.
[…] Entri kedua : Trip Indochina – Cara nak melawat Cu Chi Tunnels Ho Chi Minh // Day 2 […]
[…] Macam mana cara nak pergi? Apa menarik di sana? Boleh baca entri sebelum yang telah aku update di blog dengan klik >>> Trip Indochina – Cara nak melawat Cu Chi Tunnels Ho Chi Minh // Day 2 […]